Rombakan jemaah menteri tidak semestinya menjamin kabinet yang lebih baik, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya dah rombak (sebelum ini) dah. Bila saya letak jawatan, saya rombak tu.
"Bagi kepada orang lain, tengoklah apa jadi,” kata Mahathir pada sidang akhbar di Seoul, Korea Selatan hari ini.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas Mahathir merujuk kepada dua perdana menteri selepas penggal pertamanya - Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak - yang mana kedua-dua mereka kemudiannya disingkirkannya.
Susulan kekalahan Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil di Tanjung Piai pada 16 November lalu, Mahathir mengumumkan kesediaan beliau membuat rombakan tetapi tidak menyebut mengenai sebarang garis masa.
“Orang semua kata rombak, rombak. Ya, buanglah. Kita boleh buang semua kabinet, angkat kabinet lain pun. Tapi kamu boleh jamin ini akan berjaya?” katanya.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi kabinet hari ini, Mahathir menjawab dalam nada positif.
"Buat masa ini ya (saya berpuas hati). Saya dah tukar biasa dulu dapat orang lain, dia jadi lebih buruk. Bukan jadi lebih baik,” katanya.
Menurut perdana menteri, memandangkan kabinet melaporkan diri kepadanya, beliau tahu cara terbaik untuk menilai mereka.
“Tapi setakat ini, nampak berguna. Dia tak tahu lah, saya tahu, pasal dia lapor kepada saya. Saya tahu apa dia buat.
“Orang lain semua... oi teruk ini. Ini tak baik, itu tak baik, pakai kasut hitam apa semua-semua ini...,” katanya.
Menurut Mahathir, jemaah menteri yang ada sekarang memerlukan lebih banyak masa kerana mereka dahulu adalah pembangkang dan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri apabila berada di dalam kerajaan.
“Semuanya orang baru. Parti pembangkang (sebelum ini) tak pernah jadi kerajaan. Bila dia jadi kerajaan, dia nak bawa diri pun susah sikit. Dia tak berapa nak faham.
“Nanti kita kena ada adjustment lah. Bagilah peluang sampai dia tunjuk dia betul-betul tak guna punya orang; tak guna kita tendang dia keluar lah,” katanya.
