Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Negeri Melaka sedang dalam usaha memastikan 10 kawasan perkampungan Orang Asli dapat diwartakan bagi menjaga kepentingan masyarakat berkenaan di masa akan datang.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata sehingga kini empat perkampungan orang asli telah diwartakan iaitu Lubuk Bandung di Jasin, Bukit Seraya, Bukit Payung dan Machap Umboo di Alor Gajah.

Beliau berkata pewartaan tanah perkampungan Orang Asli adalah penting bagi menjamin penempatan mereka kerana mereka tidak menggunakan konsep pemilikan tanah seperti masyarakat umum.

"Terdapat beberapa isu berbangkit untuk merealisasikan proses berkenaan antaranya pertindihan dengan pewartaan hutan simpan serta isu pertukaran tanah yang masih belum selesai.

"Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melindungi penempatan mereka daripada pencerobohan melalui pewartaan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program amal membantu penduduk Perkampungan Orang Asli Tebong Stesen di Alor Gajah, hari ini.

Lim berkata kerajaan negeri juga sentiasa berusaha menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini terutamanya daripada segi keselamatan serta menyediakan kemudahan asas supaya mereka tidak terpinggir dan terbela.

Katanya, ia termasuk menaik taraf jalan penghubung ke kampung-kampung, lampu jalan selain kemudahan rekreasi dengan pembinaan gelanggang takraw dan sebagainya.

Sementara itu, beliau berharap kesedaran mengenai kebersihan dan kesejahteraan perkampungan Orang Asli dapat dipertingkatkan supaya menjamin persekitaran yang bersih selain menghindarkan mereka daripada terkena penyakit berjangkit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS