Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Mereka selalu sangat tuang sidang parlimen’
Diterbitkan:  Nov 29, 2019 12:24 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Anggota Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman menjelaskan cubaan pembangkang, termasuk partinya, PAS untuk mengagalkan rang undang-undang (RUU) Perbekalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan untuk memberi pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) agar lebih bertanggungjawab kepada parlimen.

Katanya, sepanjang hampir dua bulan sidang kali ini, ramai sangat menteri yang tidak hadir dan tidak menjawab soalan-soalan dari pihak pembangkang.

“Menteri dan timbalan menteri selalu sangat tuang (ponteng) sidang parlimen. Selalu sangat hanya seorang atau dua sahaja timbalan menteri yang hadir.

“Menteri penuh tak nampak muka terus. Nampak sangat menteri-menteri ini tak serius mengurus dan melaksana tanggungjawab kepada rakyat melalui kementerian yang dipertanggungjawab kepada mereka,” katanya katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh menyelar semua 28 anggota Parlimen BN dan PAS kerana cuba mengagalkan belanjawan untuk kementeriannya.

Katanya, dana untuk kementeriannya bertujuan, antara lain, untuk kumpulan yang kurang upaya, warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Tarmizi adalah antara 28 anggota parlimen pembangkang yang mengundi untuk menolak belanjawan tersebut, pada 26 November lalu.

Bagaimanapun Tarmizi menafikan pembangkang cuba menggagalkan bantuan kebajikan itu dan menurutnya, jika mahu berbuat demikian, sudah pasti lebih ramai anggota parlimen pembangkang akan menyertai undi belah bahagi.

"Ramai lagi anggota parlimen pembangkang yang ada di luar akan masuk dewan dan kalahkan undi pihak kerajaan yang hanya ada 32 (anggota parlimen)...

“Tetapi pembangkang lebih bijak untuk lakukan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Menurutnya, akibat 'ambush' atau serangan hendap anggota parlimen pebangkang itu, Dewan Rakyat pada Rabu dan Khamis lalu “penuh dengan anggota parlimen kerajaan dan menteri”.

“Nampaknya berjayalah 'ambush' itu untuk sedarkan kerajaan agar lebih serius di Parlimen dan uruskan kementerian mereka," katanya.

Pada malam 26 November lalu, belanjawan kementerian itu hampir ditolak tetapi akhirnya diluluskan dengan kelebihan empat undi - iaitu 32 anggota parlimen yang menyokong dengan 28 menolak untuk undian kali pertama.

Undian kedua pula menyaksikan keputusan 45-28 apabila semakin ramai anggota parlimen PH yang kembali ke dalam dewan untuk mengundi.

Semalam, Yeoh ketika sidang media di Parlimen turut menyenaraikan semua 28 anggota parlimen yang menolak RUU tersebut.

Dalam pada itu, Tarmizi membangkitkan langkah sama yang dibuat PH pada November 2017 bagi RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang menyaksikan ia diluluskan hanya dengan kelebihan satu undi.

"Adakah ketika itu PH yang menjadi pembangkang nak gagalkan belanjawan BN bagi peruntukan subsidi kepada rakyat miskin, kawal harga barang dan gaji untuk kakitangan kementerian?" soalnya.

Lihat Komen
ADS