Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan NGO hari ini menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mencari penyelesaian terbaik dalam kekejaman yang menimpa rakyat Palestin.

Hal itu dinyatakan dalam memorandum Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (Pepiat) yang diterima Penyelaras Residen PBB di Malaysia Stefan Priesner di pejabatnya di Putrajaya.

Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz yang mengetuai delegasi menghantar memorandum itu menuntut PBB mengambil tindakan undang-undang terhadap rejim Israel yang melakukan kekejaman dan kezaliman serta penindasan terhadap rakyat Palestin.

Kata Muhammad Faisal, perkara itu dapat dilakukan PBB melalui jawatankuasa khasnya mengenai hak Palestin.

Jelasnya, pendirian itu turut disuarakan kepada Stefan Priesner ketika menyerahkan memorandum berkenaan tengah hari tadi .

Israel secara sedar dan berterusan melakukan tindakan pencabulan hak asasi termasuklah sekatan ke atas pergerakan manusia dan barangan, kata Muhammad Faisal.

"Rejim Zionis juga secara haram telah menfasilitasi warganya ke penempatan Tebing Barat," katanya.

Muhammad Faisal (gambar, atas) berkata, selama tujuh dekad pendudukan Zionis, pergolakan di Asia Barat belum pernah reda dan selama itulah angka korban rakyat Palestin terus meningkat.

"Saban tahun angka kematian jiwa dan kemusnahan harta benda meningkat dan perundingan demi perundingan menemui jalan buntu," jelasnya.

Justeru beliau menggesa PBB mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Resolusi 2334 mengesahkan bahawa pembinaan penempatan dalam wilayah Palestin termasuk di Jerusalem Timur sebagai tidak sah.

"Keengganan Israel patuh kepada perundangan ini menonjolkan sikap biadab mereka.

"Resolusi ini cukup untuk menjadi suatu landasan bagi mendapatkan izin pendakwaan daripada Dewan Pra-Pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), selari dengan Artikel 15 (1) Statute Rome," katanya.

Memorandum yang dihantar hari ini ditujukan kepada Setiausaha Agong UN PBB António Guterres.

Dalam pada itu Muhammad Faisal menggesa seluruh dunia mengecam keras tindakan tidak bertamadun rejim Israel yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia dan keadilan.

"Kami juga menyeru seluruh warga Malaysia untuk terus bekerjasama dengan pihak PBB dalam konteks isu Palestin ini dan berusaha secara bersama untuk mencari solusi berkait isu ini.

“Kami berharap kedua-dua pihak menyemangati prinsip sama," katanya.

Hari ini, tanggal 29 November merupakan peringatan Hari Antarabangsa Solidariti bersama Warga Palestin, sebagaimana digazetkan melalui Resolusi 32/40B oleh PBB.

Awal November lalu berpuluh rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Memetik laporan AFP, sumber keselamatan di Gaza berkata berpuluh serangan dilancarkan terhadap Palestin pada awal pagi awal November lalu dengan menyasar pangkalan Hamas dan sekutunya.

Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas kepada 10 roket yang didakwa dilancarkan ke atas selatan Israel.

Tentera Israel berkata, serangan itu dilakukan ke atas beberapa sasaran termasuk kedudukan tentera laut, kawasan tentera dan kemudahan pengeluaran senjata Hamas.

Lihat Komen
ADS