Kerajaan membatalkan projek jambatan bagi menggantikan Tambak Johor membantu menghalang kedua-dua negara daripada terbabit dalam pertengkaran politik dan pertikaian undang-undang yang berlarutan.

Keputusan itu juga, kata Wisma Putra, merupakan pilihan terbaik berdasarkan sentimen orang ramai terhadap isu tersebut,.

"Keputusan itu tidak semestinya membawa kepada situasi menang-kalah. Malaysia sebenarnya tidak rugi jika ia tidak mendapat jambatan itu. Singapura juga tidak melihat keputusan Malaysia itu dari segi kemenangan atau kekalahan," kata Duta Tugas-tugas Khasnya Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

"Lagipun, Singapura juga tidak mendapat apa yang ia inginkan dari segi pasir atau ruang udara," kata Ahmad Fuzi dalam kenyataan 18 muka surat yang dikeluarkan malam tadi.

Berikutan keputusan itu, katanya, Malaysia tidak perlu menimbangkan menarik balik larangan eksport pasir dan memberi keistimewaan terhad kepada Tentera Udara Republik Singapura untuk menggunakan ruang udaranya dan berhadapan dengan Mencari dan Menyelamat dan Transit Koridor Utara.

"Malahan, Malaysia kini boleh menimbangkan menguatkuasakan larangan penuh bagi eksport pasir ke mana-mana negara sebagai dasarnya sekiranya sentimen orang ramai berhubung isu itu adalah sama kuat sepertimana digambarkan dalam media.

"Dasar seumpama itu, disokong oleh undang-undang negara yang sesuai, akan menjadi alat untuk mencegah eksport pasir secara haram," katanya.

Beliau berkata kerajaan percaya pembinaan jambatan untuk menghubungkan kedua-dua negara berjiran sepatutnya dapat menggalakkan hubungan dan interaksi mesra rakyat dengan rakyat.

"Dengan melaksanakan pembinaan jambatan itu secara unilateral yang akan membawa kepada pertikaian politik dan implikasi undang-undang, bukanlah cara terbaik untuk menggalakkan hubungan dua hala," kata Ahmad Fuzi.

Adakan referendum

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, mengadakan referendum dan membuat keputusan berdasarkan referendum seumpama itu juga tidak pernah menjadi amalan kerajaan atau satu tradisi di Malaysia.

Ahmad Fuzi berkata kedua-dua pihak kini perlu terus memupuk hubungan bermanfaat dan mengenepikan sentimen dan emosi awam berkaitan dengan bagasi sejarah yang timbul daripada pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965.

Menurutnya, lebih banyak usaha sepatutnya ditumpukan dalam memastikan penggunaan maksimum kompleks Kastam, Imigresen dan Kuaranting (CIQ) walaupun projek jambatan telah dibatalkan.

Ahmad Fuzi berkata kerajaan mempunyai tiga lagi pilihan berhubung isu jambatan.

Pilihan pertama ialah meluluskan Persefahaman Politik Umum (BPU) dan meneruskan rundingan terperinci untuk merumuskan Perjanjian Muktamad.

Keduanya, untuk meneruskan pembinaan jambatan indah yang akan dihubungkan ke bahagian Singapura di Tambak Johor.

Ketiga, secara unilateral membina jambatan indah yang akhirnya akan dihubungkan dengan Singapura untuk menjadi jambatan indah yang sempurna.

Mengenai pilihan pertama, beliau berkata, sementara kerajaan mungkin boleh meneruskan BPU, ia akan menghadapi masalah mendapatkan persetujuan dalam jangka waktu singkat dengan mengambil kira sentimen orang ramai dan kebimbangan dilihat sebagai terlalu menurut kehendak Singapura.

Kepentingan seimbang

Malaysia, katanya, boleh menawarkan konsesi lain selain daripada pasir dan ruang udara tetapi dengan mengambil kira keperluan semasa Singapura, tiada konsesi lain yang lebih penting kepada negara itu.

Bagi pilihan kedua, beliau berkata masalah paling besar ialah mendapatkan persetujuan Singapura untuk memindahkan saluran paip air.

Ahmad Fuzi berkata melihat kepada pendirian Singapura, tiada jaminan bahawa Singapura tidak akan meminta kepentingan seimbang melibatkan pasir dan ruang udara sebelum menimbangkan untuk memindahkan saluran paip air.

"Sekiranya rundingan itu sampai ke tahap itu, ia akan amat dikesali sekiranya Malaysia terpaksa bersetuju memberikan pasir dan ruang udara sebagai balasan bagi jambatan indah separuh sebalik jambatan penuh yang lurus," kata Ahmad Fuzi.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Singapura malahan boleh menghentikan penggunaan bahagian Singapura di tambak oleh Keretapi Tanah Melayu atas alasan integriti struktur berikutan perobohan tambak di bahagian Malaysia.

Dan sekiranya perkhidmatan kereta api dihentikan selama enam bulan, Singapura boleh menguatkuasakan Seksyen 4, Ordinan Pemindahan Landasan Keretapi (Bahagian 320) di mana tanah KTM di republik itu akan diserahkan kepada mereka.

Bagi pilihan ketiga, Ahmad Fuzi berkata tidak ada jaminan bahawa Singapura akan bersetuju untuk membina jambatan di pihaknya tanpa mendapatkan keseimbangan kepentingan dalam tempoh pembinaan jambatan di bahagian Malaysia.

Katanya elemen ketidaktentuan itu akan bermakna Malaysia akhirnya terpaksa meneruskan jambatan indah atau jambatan separuh tidak siap "menunggu" untuk dihubungkan oleh Singapura mengikut budi bicaranya.

"Jambatan tergantung" seumpama itu tidak sangsi lagi akan menjadi bahan ejekan yang akan menjejaskan Malaysia secara keseluruhannya," katanya.