Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid janji tambah peruntukan TAR UC jika BN berkuasa semula

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berjanji mengembalikan geran padanan bagi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan  jika gabungan itu kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Berucap ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-66 di Wisma MCA hari ini, Ahmad Zahid berkata peruntukan lebih besar akan diberikan kepada TAR UC sekiranya masyarakat Cina kembali memberikan sokongan kepada BN.

"This is my promise (Ini janji saya). Maka janji untuk memberikan peruntukan kepada Kolej TAR dan universiti TAR (Universiti Tunku Abdul Rahman) sebagaimana yang dijanji oleh kerajaan lalu, jika kita ambil alih sebagai kerajaan, semua janji itu akan dipenuhi," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

"Kalau semakin banyak sokongan pengundi-pengundi Cina, (BN) akan tambah lagi peruntukan," katanya.

Ahmad Zahid juga menjelaskan bahawa Umno dan BN akan menyokong perjuangan MCA dalam memperjuangkan peruntukan untuk TAR UC.

"Atas nama BN, Umno dan BN sokong MCA untuk memperjuangkan nasib TAR UC dan Utar, kerana di dalam soal pendidikan, tidak ada agenda politik, tidak ada agenda kaum, agama dalam soal pendidikan.

TAR UC menerima purata RM30 juta sehingga RM60 juta setiap tahun semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pada tahun ini, kerajaan hanya memperuntukkan RM5.5 juta untuk TAR UC dan tiada geran diberikan.

Dalam Belanjawan 2020, peruntukan TAR UC dikurangkan lagi kepada RM1 juta.

Pada 22 Nov lalu, kerajaan bersetuju menyalurkan RM30 juta kepada TAR UC melalui dana amanah yang diuruskan oleh alumni.

Dalam ucapan dasarnya sebelum ini, Presiden MCA Wee Ka Siong merayu kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk menghentikan "penindasan" terhadap TAR UC.

"Hentikannya, sudah cukup. Hentikan penganiayaan politik terhadap TAR UC," katanya.

Pada 26 Nov lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan TAR UC bahawa lembaga pemegang amanahnya adalah haram kerana semua pemegang amanah adalah ahli MCA.

"Sejak bila kita mempunyai undang-undang yang mengatakan bahawa ahli-ahli parti politik tidak boleh duduk dalam lembaga pemegang amanah, ini melanggar hak asasi manusia," kata Wee.

Beliau mempersoalkan sama ada menteri kewangan bercadang untuk memecah-belahkan TAR UC dengan melantik sebuah persatuan alumni untuk menguruskan peruntukan RM30 juta untuk institusi itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS