Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jiao Zong nafi beri notis lewat kepada Kementerian Pendidikan

Pertubuhan pendidikan Cina Jiao Zong dan Dong Zong hari ini menafikan kenyataan Kementerian Pendidikan yang mendakwa pertubuhan itu hanya memberi notis dalam tempoh masa singkat sebelum hadir ke pejabat kementerian bagi menyerahkan memorandum pada Jumaat.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengatakan hanya diberikan notis sejam pada hari tersebut tetapi kedua-dua pertubuhan itu mendakwa sebaliknya.

Presiden Jiao Zong, Ong Chiow Huan yang ditemui ketika Perhimpunan Agung MCA ke-66 hari ini berkata temujanji tersebut telah dibuat pada Khamis lalu.

"Kami telah memaklumkan mereka pada Khamis. Kami juga membuat beberapa panggilan sejak 28 Nov.

"Kamu lihat kami telah berhubung dengan setiausaha Menteri Pendidikan Maszlee Malik," katanya kepada pemberita sambil menunjukkan rekod panggilannya.

Beliau juga menjelaskan telah menghantar pesanan melalui Whatsapp kepada setiausaha Kementerian Pendidikan itu pada pagi Khamis.

"Tetapi dia tidak memberikan apa-apa maklum balas sehingga Jumaat.

'Adalah salah untuk menolak temujanji yang telah dibuat sebelum ini. Kami masih mempunyai pesanan Whatsapp tersebut," katanya.

Semalam, The Star melaporkan seorang menteri yang tidak dinamakan memberitahu mereka hanya menerima notis daripada Dong Zong dan Jiao Zong pada 2 petang.

Pada waktu pertemuan itu, wakil kementerian memberitahu kebanyakan pengawai tertinggi berada di dalam mesyuarat pasca kabinet dan mereka tidak mahu mengecewakan kumpulan itu dengan menghantar pegawai bawahan.

Kedua-dua kumpulan itu telah menghantar memorandum menggesa lembaga pengurusan sekolah Cina dibenarkan untuk memutuskan pengajaran tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular.

Pada Ogos lalu, tindakan kerajaan memperkenalkan pembelajaran tulisan khat Jawi untuk murid darjah empat di sekolah vernakular tahun depan mendapat tentangan daripada badan pendidikan bukan Melayu.

Kerajaan kemudiannya memutuskan untuk mengurangkan pembelajaran tulisan khat kepada tiga muka surat sahaja daripada enam muka surat dan hanya boleh diajar jika mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Bagaimanapun, pertubuhan pendikan itu tidak bersetuju apabila lembaga pengurusan sekolah tidak disenaraikan sebagai pembuat keputusan memandangkan sesetengah sekolah di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai PIBG.

Lihat Komen
ADS