Menyedari generasi sekarang merupakan 'generasi visual' serta pengaruh media sosial dalam kehidupan kanak-kanak hari ini, seorang guru dari Sabah percaya kaedah teguran juga perlu berubah mengikut zaman.
Tidak mahu menggunakan kaedah lama seperti merotan dan denda, beliau yang bertugas di SK Tampulan memperkenalkan kaedah pembikinan filem dan tayangan filem pendek untuk membimbing pelajar secara halus.
Irwan Hamsah, atau dikenali sebagai Cikgu Iroet Marteni, menyifatkan kaedah 'menyentuh emosi' pelajar sebagai sesuatu yang perlu dilakukan setiap guru masa kini dalam mendidik pelajar.
“Merotan bukan lagi sesuatu yang relevan buat masa kini,” katanya ketika ditemubual Malaysiakini.
Beliau memberikan contoh seorang pelajarnya yang dahulunya nakal dan tidak mahu membuat kerja rumah berubah menjadi pelajar yang rajin dan tidak lagi mengganggu kawan sekelas apabila pelajar tersebut dipilih untuk memerankan watak zombie.
Pujian dari rakan sekolah dan penduduk kampung akan hasil lakonan yang sangat baik menunjukan impak yang positif pada dirinya, kata Cikgu Iroet.
“Saya percaya perhatian (yang diterima olehnya) seolah-olah menjadikan pelajar itu ‘superstar’ di sekolah dan kampung, dan murid ini berubah ke arah yang positif kerana ingin menjaga imej baiknya di mata warga sekolah,” kata Cikgu Iroet.
Idea untuk melibatkan pelajar dalam filem pendek tercetus pada tahun 2015 apabila beliau mendapati tidak ramai yang mengenali SK Tampulan, termasuk masyarakat tempatan.
“Yang lucunya pada tahun tersebut apabila saya pergi mana-mana mesyuarat atau bengkel ada saja guru yang masih tidak tahu di mana terletaknya SK Tampulan,” kata guru ICT tersebut.
Ini membakar semangatnya untuk terus berbakti kepada sekolah tersebut, yang merupakan satu antara lima buah sekolah pedalaman di daerah Kota Kinabalu.
Bolot anugerah di Sabah Screen Fest
Hasil usaha Cikgu Iroet dan pelajar-pelajarnya, SK Tampulan telah mengungguli Sabah Screen Fest 2019 (SSF) bulan lalu.
SSF merupakan pertandingan filem digital tahunan melibatkan hasil karya pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Malaysia.
“Kenangan yang paling manis adalah pada tahun ini, apabila SK Tampulan telah berjaya menjadi johan di festival filem SSF 2019 dan membolot kesemua kategori,” katanya ketika dihubungi.
Sekolah tersebut memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Skrip Terbaik melalui karya ‘Solunsung’.
Filem ‘Solungsung’ juga mendapat tempat di arena antarabangsa.
“Paling membanggakan filem pendek kami juga telah rasminya ditayangkan di tiga buah negara -- Slovenia, Brazil dan Afrika Selatan,” katanya lagi.
Solungsung merupakan filem lapan minit yang diarahkan oleh pelajar Edjucchio Effour fan dibintangi lapan orang pelajar dari SK Tampulan.
Ia mengisahkan seorang anak yang menyelesaikan masalah air ketika musim kemarau. Skripnya ditulis oleh Jon Ouman Tandagu.
Solungsung bukan filem pertama yang dibikin SK Tampulan dan mendapat perhatian ramai.
Pada 2017, filem mereka ‘Tuhau Vs Zombie’ antara filem yang telah mencatatkan lebih 21 juta tontonan di YouTube, kata Cikgu Iroet Marteni.
Tuhau vs Zombie memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik pada SSF 2017 dan mengisahkan sebuah kampung yang diserang zombie. Dalam filem ini, tuhau, iaitu sejenis bunga kantan, adalah satu-satunya penawar.
Belajar berlakon, buat filem dari Youtube
Sumber peralatan merupakan cabaran utama yang mereka hadapi semasa pembikinan filem.
“Kami hanya menggunakan peralatan dan props yang diperolehi di sekitar sekolah kerana tidak mempunyai bajet yang khusus," katanya.
Sebagai guru pembimbing beliau mengakui menghadapi masalah mengajar ilmu asas perfileman.
“YouTube merupakan rujukan saya untuk mengajar murid asas lakonan yang baik kerana saya sendiri tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang khusus dalam ilmu perfileman,” katanya.
Cikgu Iroet telah berkhidmat selama 10 tahun di SK Tampulan yang terletak di Telipok, Sabah.
Beliau berkelulusan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak.
Beliau berharap agar lebih ramai guru menggunakan filem pendek sebagai medium pembelajaran dan pemudahcara.
“Melalui filem banyak perkara yang pelajar boleh belajar kerana kemenjadian murid itu juga dipengaruhi oleh ‘seni visual’.
“Daripada asyik membicarakan filem sebagai alat yang boleh merosakkan masyarakat kenapa tidak kita mengangkat filem sebagai satu alat untuk membantu pelajar ke arah sahsiah yang baik dan menjadikan kurikulum khususnya.
“Setiap hidup kita ada pro dan kontra, terpulang kepada kita untuk mencorakkannya sama ada ingin menjadi hitam ataupun putih,” kata Cikgu Iroet.
