Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM gesa penjawat awam bantu kerajaan atasi kemiskinan
Diterbitkan:  Dec 2, 2019 10:04 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa penjawat awam membantu kerajaan bagi menggalakkan golongan miskin bekerja keras dalam membangunkan ekonomi mereka.

Berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini, beliau berkata negara ini hanya boleh setanding negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan China apabila golongan miskin bebas daripada belenggu kemiskinan.

"Sebab itu kita bentuk dasar baru ini, Wawasan Kemakmuran Bersama.

"Selagi mereka ketinggalan dan tak sambut baik cara-cara dan strategi ini, selama itulah mereka akan terus miskin dan ini tak baik bagi pembangunan negara kita

"Oleh itu saya rayu kepada semua pegawai kerajaan yang sudah ada pendapatan dari pekerjaan, untuk memberi teguran dan tunjuk ajar pada pihak-pihak miskin bagaimana mereka boleh mengatasi kemiskinan mereka," katanya.

Mahathir berkata Korea Selatan pada suatu masa berada di belakang Malaysia dari segi pembangunan dan ekonomi tetapi kini mengatasi negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Korea Selatan, katanya, kini mempunyai pendapatan AS$36,000 per kapita, berbanding Malaysia yang mempunyai pendapatan AS$10,000 per kapita.

"Tidak ada ada satu yang akan datang melayang, tidak ada satu yang datang bergolek. Kesemua memerlukan usaha kita.

"Oleh itu tukar la cara kita menerima masalah kita dan atasi masalah kita terutama atasi kemiskinan," katanya.

Tambah perdana menteri golongan miskin perlu disedarkan supaya tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan.

"Jangan tunggu-tungggu supaya dapat diberi bantuan kewangan kerana ini jadikan kita orang yang bergantung kepada kerajaan. 

"Dan orang yang bergantung kerajaan sudah tentu kedudukan mereka tak selamat.

"Inilah yang pegawai-pegawai kerajaan perlu hebahkan kepada rakyat yang miskin kenapa mereka perlu berusaha bekerja keras untuk atasi kemiskinan mereka dan jangan harapkan bantuan kewangan daripada kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS