Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN teliti cadangan agar KSM kendali ambil pekerja asing

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dahulu saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kuasa pengambilan pekerja asing agar ia dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menterinya, Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedia menimbangkan apa saja cadangan yang dikemukakan dan akan melihat kewajarannya sebelum diterima.

“Cuma, sebagaimana kita tahu setiap mereka yang datang ke negara kita ini - sama ada datang untuk bekerja atau melancong dan sebagainya -perlu melalui pintu masuk Malaysia dahulu.

“Kalau nak bekerja pun, dia tak boleh terus bekerja, dia kena masuk pintu masuk Malaysia berdasarkan dasar undang-undang yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya, hari ini.

Pada 28 Nov lalu, Malaysiakini melaporkan cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, untuk mengembalikan kuasa pengambilan pekerja asing kepada KSM bagi mengatasi amalan rasuah yang berlaku semasa proses tersebut.

Menurut Latheefa, kitaran penipuan dan eksploitasi pekerja asing hanya boleh dipecahkan sekiranya mereka diambil bekerja hanya untuk mengisi kekosongan dalam sektor yang ditetapkan.

Hal itu, katanya, hanya boleh dilakukan KSM kerana ia mempunyai kapasiti untuk mengenal pasti permintaan terhadap pekerja asing oleh pelbagai sektor.

Urusan lanjutan lebih cepat

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga anggota parlimen Pagoh berkata Jabatan Imigresen masih mempunyai kuasa untuk menahan sesiapa yang didapati melanggar undang-undang.

“Selepas masuk (ke negara ini) dan mendapat permit untuk bekerja, maka mereka tertakluk dengan undang-undang pekerjaan serta akta berkaitan di bawah KSM, termasuk pembayaran gaji serta apa yang diwajibkan kepada majikan mereka.

“Tetapi kalau mereka tidak pergi kerja, atau melampaui tempoh masa kerja, tidak balik ke negara asal, maka imigresen ada kuasa untuk menahan dan hukum mereka berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Jabatan Imigresen Malaysia kini memperkenalkan inisiatif baru bagi memudahkan majikan membuat lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara dalam talian bermula 1 Jan tahun depan.

Katanya, melalui kemudahan ePLKS@JIM itu majikan akan berurusan terus dengan pihak Jabatan Imigresen.

“Ini mempercepatkan urusan perlanjutan PLKS tanpa perlu melalui perantara atau vendor yang memberikan perkhidmatan sedia ada,” katanya.

Tambah Muhyiddin, perkhidmatan tersebut juga percuma dan majikan hanya perlu membayar levi, fi memproses proses dan visa seperti biasa.

Lihat Komen
ADS