Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kemenangan Anifah dibatal, satu lagi PRK akan diadakan
Diterbitkan:  Dec 2, 2019 2:46 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU ke-14.

Ini bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan di kawasan Parlimen yang terletak di Sabah itu.

Menurut Bernama, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengenepikan kpeutusan Mahkamah Pilihan Raya.

Maimun berkata hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak membuat khilaf dan memang terdapat percanggahan dalam proses pilihan raya dan pelbagai pelanggaran terhadap undang-undang pilihan raya, yang memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Hakim yang menganggotai panel ialah Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Wong Dak Wah dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Rohana Yusuf dan Nallini Pathmanathan.

Pada 18 Jun 2018, calon Warisan di kerusi Parlimen Kimanis, Karim Bujang memfailkan petisyen dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden kedua.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu menolak petisyen itu dan Karim kemudian membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan petisyen itu dibicarakan semula.

Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan Anifah, bekas menteri luar, sebagai tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, Anifah dalam reaksi segeranya menyifatkan keputusan itu sebagai satu ketidakadilan.

Katanya, tiga hakim dalam panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan rayuan yang dibuat Karim dan justeru boleh dianggap sebagai tidak neutral.

"Peguam saya Ansari Abdullah telah memfailkan permohonan agar tiga hakim itu menarik diri daripada mendengar rayuan saya atas tiga sebab.

"Mereka terlibat dengan rayuan sebelum ini dan sudah ada pendirian terhadap petisyen yang difailkan, justeru tidak nuetral; amalan dan konvensi ialah tiada hakim Sabah yang menghakimi petisyen pilihan raya yang difailkan di Sabah; dan beberapa asas dalam rayuan hari ini berkaitan dengan keputusan yang dibuat panel sebelum ini," katanya dalam kenyataan.

Anifah berkata akan memutuskan langkah yang seterusnya selepas berbincang dengan penyokongnya.

Pada PRU ke-14, beliau menang di kerusi parlimen itu dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi, mengalahkan Karim Bujang (Warisan dan Jaafar Ismail (Harapan Rakyat) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Azhar: SPR buat persediaan

Sementara itu, Pengerusi SPR Azhar Harun berkata pihaknya telah dimaklumkan berkenaan keputusan itu dan akan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengadakan PRK di situ.

"SPR akur dengan keputusan tersebut dan malah akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden ketidakpatuhan terhadap peraturan pilihan raya.

"(Keputusan mahkamah) bermakna satu PRK perlu diadakan dalam masa 60 hari daripada tarikh SPR menerima perakuan dari mahkamah...Mesyuarat perlu diadakan dalam masa tidak kurang empat hari dan tidak lebih sepuluh hari daripada tarikh perakuan itu," katanya lagi.

Beliau turut berkata sejak PRU ke-14, tiada lagi sebarang tuduhan pelanggaran peraturan pilihan raya oleh para petugas pilihan raya dalam sembilan PRK yang telah dijalankan.

Lihat Komen
ADS