Kadar pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan lebih rendah daripada tujuh peratus yang diramalkan semasa Belanjawan 2001 lalu, sementara eksport dan pelaburan asing akan berkurangan, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Parlimen.
"Dijangka kadar pertumbuhan tahun ini akan lebih rendah daripada paras tujuh peratus yang diramal semasa Belajawan 2001 dan hanya lima hingga enam peratus dalam semakan Mac tahun ini," kata beliau pagi tadi.
Menurutnya perkara itu adalah kesan daripada peristiwa serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11 September lalu.
Katanya serangan itu telah mengubah senario ekonomi dunia dan mengugat pasaran kewangan dan perdagangan antarabangsa.
"Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur turun sebanyak 10.9 peratus dari 11 hingga 28 September," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Tambahnya, eksport negara dijangka berkurangan disebabkan oleh pemintaan luar negara yang kurang mengalakkan.
"Demikian juga dengan pelaburan asing. Industri pengangkutan, insuran dan pelancongan juga turut terjejas," katanya.
Kos perdagangan meningkat
Menurut beliau kos perdagangan akan meningkat ekoran daripada pertambahan kadar fret dan insuran.
Bagaimanapun, Mahathir menegaskan bahawa asas ekonomi negara tetap kukuh.
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa asas ekonomi Malaysia tetap kukuh. Tekanan inflasi adalah rendah dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) juga rendah. Malaysia masih menjadi sebuah negara yang kompetitif," jelasnya.
Katanya, pada awal 2001, prestasi ekonomi Malaysia mula terjejas berikutan kelembapan ekonomi ketara di Amerika Syarikat dan pertumbuhan ekonomi Jepun yang mendatar.
"Untuk mengurangkan kesan itu, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM3 bilion pada Mac lalu sebagai suntikan," katanya.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat, rizab luar negara sehingga 29 September adalah berjumlah AS$29.7 bilion (RM112.86 bilion) dan ia mampu menampung import tertangguh negara sehingga 4.6 bulan.
Ekonomi dipulihkan
Semasa menjawab soalan Ronald Kiandee (BN-Baluran), Mahathir memberitahu proses untuk memulihkan ekonomi negara memerlukan jangka masa yang panjang.
"Saya fikir rancangan kita (kerajaan) ini dapat atasi masalah yang ada walaupun bukan secara keseluruhannya," katanya yang merujuk kepada pakej bernilai RM4.3 bilion yang diumumkan pada 25 September lalu.
Pakej ini sebagai merangsang perbelanjaan negara serta mengimbangi penurunan perdagangan luar negara.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Ali Hassan (BN-Tebrau), perdana menteri berkata perbincangan mengenai kesan ekonomi terhadap negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan cara menanganinya mungkin dibawa semasa pertemuan ketua-ketua negara itu di Brunei, November ini dan semasa Persidangan Ekonomi Negara-negara Asia Pasifik (APEC) di Shanghai akhir bulan ini.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan mengambil perhatian kepada rakyat negara ini yang berada di Singapura yang hilang pekerjaannya.
"Kita sedar tentang perkara itu. Bagaimanapun, jumlah mereka yang berhenti kerja (di negara ini) adalah kurang daripada bilangan tawaran pekerjaan yang ada," katanya.
