Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Perbelanjaan kad kredit Zahid, isteri lebih RM1.4j dalam 2 tahun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu berkenaan rekod penggunaan kad kredit Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya, Hamidah Khamis mencecah lebih RM1.4 juta dalam tempoh dua tahun dua bulan.

Hal itu dinyatakan oleh Naib Presiden Kanan (pengurusan pengesahan kad kredit dan kawalan penipuan) Ambank Berhad, Yeoh Eng Leong dalam keterangannya dalam perbicaraan kes pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi hari ini, yang masuk hari kelima.

Yeoh merupakan saksi kesepuluh pendakwaan dalam perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Dia berkata, Zahid merupakan pemegang kad utama untuk dua kad kredit, iaitu AmIslamic Bank Visa Infinite (Visa Zahid) dan AmIslamic Bank World MasterCard (Mastercard Zahid).

Selain itu, katanya lagi, pihak bank turut menyediakan dua kad kredit tambahan kepada Hamidah selaku isteri Zahid, iaitu kad AmIslamic Bank VISA Infinite (Visa Hamidah) dan AmIslamic Bank World MasterCard (MasterCard Hamidah).

Kesemua empat kad tersebut mempunyai had kredit gabungan sebanyak RM250,000.

Berdasarkan penyata kewangan kad kredit, Yeoh berkata dia mendapati “semua atau sekurang-kurangnya salah satu kad digunakan secara aktif untuk transaksi runcit di Malaysia dan luar negara”.

“Pembayaran kad kerap dibuat, tapi tak selalunya (dibuat) tepat pada masa yang sepatutnya. Ini menyebabkan beberapa caj kelewatan pembayaran dikenakan terhadap kad-kad tersebut,” katanya.

Transaksi di butik pelbagai negara

Berdasarkan pengiraan terhadap penyata kewangan kad kredit antara Disember 2013 hingga Januari 2016 yang dibentangkan Yeoh, kedua-dua kad kredit Hamidah didapati mempunyai perbelanjaan tertinggi iaitu kira-kira RM1.1 juta, berbanding dua kad kredit Zahid yang merekodkan perbelanjaan kira-kira RM380,000.

Perbelanjaan itu termasuklah yang dibuat di luar negara, seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, Hong Kong, Vietnam, Indonesia, China dan Korea Selatan.

Berdasarkan penyata kewangan kad kredit bertarikh 28 Mei 2014 yang dibacakan Yeoh, kad Visa Hamidah merekodkan transaksi sebanyak RM204,366.99, antaranya di Kuala Lumpur, Vietnam dan Australia.

Bagi penyata kewangan bertarikh 28 April 2014 pula, kad Visa Hamidah digunakan untuk transaksi berjumlah RM130,359.83.

Ia termasuk RM26,893.33 yang dibelanjakan di Burberry Asia Ltd di Kowloon, Hongkong; RM9,500 di Louis Vuitton Starhill, Kuala Lumpur; RM7,919.35 di Swarovski Melbourne, Australia; dan RM18,568.66 di Louis Vuitton Southbank, Australia.

Antara perbelanjaan lain yang dibuat oleh keempat-empat kad kredit ialah pembayaran hotel, serta perbelanjaan di pusat beli-belah dan fesyen seperti Harrods, Max Mara, Myer, Louis Vuitton, Burberry, Zilli Hermes, Stefano Ricci, Marks & Spencer, Escada dan Giorgio Armani.

Perbelanjaan turut dibuat di pusat mainan seperti Toys R Us dan DC Super Heroes, pusat barang kemas seperti Poh Kong Jewellers, Habib Jewels dan Swarovski; pusat farmasi, bil hospital, serta perbelanjaan lain.

Hamidah Khamis

Kata Yeoh, berdasarkan rekod penyata kad kredit dari Januari hingga Disember 2014, Januari hingga Disember 2015, dan Januari 2016, Ahmad Zahid selaku pemegang kad utama telah membuat sebanyak 37 pembayaran kad kredit melalui cek.

“Daripada 37 pembayaran itu, dua cek dipulangkan semula,” katanya lagi.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan pembayaran yang diterima sepanjang tempoh itu (Januari 2014 hingga Januari 2016) ialah sebanyak RM1,296,715,98 juta.

Jumlah itu bagaimanapun tidak mengambil kira pembayaran yang dibuat untuk kad Mastercard Hamidah pada Disember 2013 sebanyak RM24,7802.28

Ahmad Zahid diwakili pasukan pembelaan yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran.

Perbicaraan disambung esok. 

Lihat Komen
ADS