Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-59: Najib terkejut didakwa tentukan keputusan lembaga SRC

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-59 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding:


Peguam Najib akan temu bual seramai mungkin saksi pembelaan

4.56 petang - Mahkamah Tinggi mendengar pasukan pembelaan Najib Razak akan menemu bual seramai mungkin saksi-saksi pembelaan dari hari Khamis hingga Jumaat ini.

Peguam bela Najib, Farhan Read memberitahu hal itu kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada akhir prosiding hari ini.

Khamis dan Jumaat minggu ini tidak ditetapkan untuk perbicaraan kes Najib menyelewengkan RM41 juta dana SRC International. Perbicaraan juga ditetapkan dari Isnin hingga Khamis minggu depan.

Nazlan kemudian membenarkan prosiding untuk ditangguhkan hari itu dan bersambung pada jam 9 pagi esok.


Najib nafi putuskan pemindahan pemilikan SRC

4.42 petang - Mahkamah Tinggi mendengar bekas perdana menteri Najib Razak menafikan membuat keputusan mengenai pemindahan pemilikan SRC kepada Menteri Kewangan Diperbadankan sebelum timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Md Nor Nawi mengeluarkan memo yang berkaitan.

Najib berkata ini kerana cadangan dalam memorandum yang dikatakan itu telah dipersetujui secara prinsip olehnya, tetapi ia antara lainnya masih tertakluk kepada Unit Kawalan dan Sistem.

"Akhirnya, saya percaya bahawa Md Nor Nawi telah bersetuju dengan perkara yang terkandung di dalam memo itu, hasil daripada penilaian beliau sendiri mengenai cadangan (pemindahan pemilikan)," kata Najib.


Surat Putera Turki Al-Saud

4.25 petang - Pihak pendakwaan membantah percubaan oleh pasukan pembelaan Najib Razak untuk menandakan surat yang dikatakan diterima oleh bekas perdana menteri daripada Putera Turki Al-Saud sebagai bukti.

Ini walaupun Najib menjamin bahawa beliau memang telah menerima surat itu.

DPP V Sithambaram berkata surat itu perlu ditandakan sebagai bukti yang diterima selepas disahkan keasliannya (IDD).


Najib terkejut didakwa tentukan keputusan lembaga SRC

4.20 petang - Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut mendengar keterangan bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail, yang menuduh beliau memberi arahan kepada lembaga pengarah syarikat sebelum mereka membuat keputusan.

Najib berkata tuduhan itu tidak masuk akal, beliau memberi keterangan bahawa semua perkara yang berkaitan dengan operasi SRC, usahasama dengan Aabar Investments PJS, dan pembiayaan kewangan semuanya berada di bawah tanggung jawab lembaga.

Katanya, lembaga bertanggungjawab membincangkan perkara itu sebelum mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang saham SRC International.

"Saya terkejut mendengar keterangan Tan Sri Ismee, di mana pandangannya bercanggah dengan pengalamannya di beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

"Saya tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen untuk mengarahkan lembaga pengarah mengenai hal-hal yang perlu mereka selesaikan terlebih dahulu untuk kepentingan syarikat," kata Najib.


4.14 petang - Prosiding bersambung selepas berehat seketika.


3.55 petang - Mahkamah berehat sebentar.


3.35 petang - Mahkamah mendengar dari Najib Razak bahawa beliau hanya mengesahkan senarai pengarah berpotensi untuk SRC International yang diberikan kepadanya pada Ogos 2011 oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Menurut keterangan Najib, senarai itu termasuk Ismee Ismail, yang dicadangkan sebagai pengerusi SRC, dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai CEO dan pengarah urusannya.

"Saya dimaklumkan bahawa individu-individu ini dipilih oleh 1MDB dan saya tidak melihat sebarang alasan untuk tidak bersetuju dengan pelantikan orang yang mereka nyatakan," katanya.


3.26 petang - Bekas perdana menteri Najib Razak bersaksi bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International.

Kenyataan itu serupa dengan penyataan pembuakaan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah pagi tadi.

"Saya menekankan dengan tegas bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC, kecuali dalam keupayaan profesional saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dan kewajipan awam saya untuk bertindak atas kepentingan kerajaan Malaysia," kata Najib.


3.00 petang - Ketiadaan rekod prestasi bukan penghalang permohonan pinjaman SRC International dari KWAP, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Membaca dari kenyataan kesaksiannya, Najib berkata dasar inisiatif pembangunan memerlukan sesuatu titik permulaan.

"Itulah sebabnya EPU (Unit Perancang Ekonomi) meluluskan geran pelancaran sebagai permulaan dan mencadangkan pembiayaan selanjutnya diperoleh oleh SRC," kata Najib.


2.45 petang - Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa sebagai menteri kewangan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memerintahkan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk meluluskan permohonan pinjaman SRC International pada 2010 dan 2011.

Najib berkata demikian ketika ditanya oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed mengenai surat yang diberikan oleh Najib kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Azian Mohd Noh. Pada surat itu Najib menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan permohonan pinjaman oleh syarikat itu.

Bagaimanapun, hari ini, Najib berkata hanya panel pelaburan KWAP mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan pinjaman, seperti ditetapkan Akta Dana Persaraan 2007.

"Pandangan Azian bahawa saya adalah 'bos utama' beliau juga tidak mempunyai makna dalam keputusan KWAP untuk meluluskan pinjaman itu, kerana sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, dia juga tidak mempunyai hak untuk mengundi dalam proses kelulusan pinjaman (panel pelaburan)," katanya.


2.44 petang - Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa persetujuannya mengenai permohonan pinjaman SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bukan keputusan muktamad.

Najib berkata ada masanya pegawai tidak bersetuju dengan keputusannya dan merayu kepadanya untuk menukar keputusan berkenaan.

"Bersetuju tidak bermakna ia muktamad dan tidak boleh diubah. Ini bergantung kepada proses peninjauan oleh pegawai yang mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.

"Oleh itu, perkataan setuju tidak bermakna carte blanche (buat apa saja). Ia tidak menghalang pendapat yang berbeza daripada disuarakan dan dipertimbangkan," kata Najib.

Dilaporkan bahawa SRC menerima pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP antara 2011 dan 2012.


2.35 petang - Prosiding disambung semula. Najib meneruskan pembacaan dari kenyataan kesaksiannya semasa pemeriksaan utama pasukan pembelaan.

Pemeriksaan utama dijalankan oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed kerana peguam utama Muhammad Shafee Abdullah terpaksa menghadiri mesyuarat petang ini.


1.00 petang - Prosiding ditangguhkan untuk makan tengah hari, dan akan disambung semula jam 2.30 petang.


12.58 tengah hari - Mahkamah mendengar dari Najib Razak bahawa beliau tidak tahu Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Koh Beng Huat dinamakan sebagai pemegang saham dan pengarah SRC International apabila syarikat itu didaftarkan.

Najib juga mendakwa bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan Nik Faisal atau Koh berhubung urusan SRC.

"Tidak, saya tidak tahu apa-apa tentang ini. Saya juga tidak pernah bertemu dengan Nik Faisal atau Vincent Koh Beng Huat atas urusan SRC," katanya.

Najib juga mendakwa bahawa beliau tidak tahu bahawa saham SRC hanya dipindahkan kepada 1MDB menjelang akhir tahun 2011.


12.55 tengah hari - Najib menyerahkan memorandum dan artikel persatuan (M&A) Petronas sebagai bukti pembelaan.

Ini berlaku kerana tertuduh bersaksi bahawa M&A SRC International bukanlah satu-satunya yang memberi kuasa "menyeluruh" kepada perdana menteri Malaysia dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Menurut Najib, M&A Petronas memberikan kuasa yang lebih luas kepada perdana menteri berbanding dengan yang ditetapkan dalam M&A SRC.

"... Saya ingin menunjukkan bahawa kuasa perdana menteri dalam Petronas lebih besar berbanding dalam operasi SRC.

"Itu adalah hujah utama utama," katanya kepada mahkamah.

Najib memberi contoh Perkara 109 (3) M&A Petronas, yang menurutnya pada mulanya dibuat pada tahun 1974, menyatakan bahawa pengerusi Petronas hanya boleh dilantik oleh perdana menteri dan memerlukan pengerusi bertindak di bawah arahan perdana menteri.

"Rasional di sebalik meletakkan kuasa itu di tangan perdana menteri adalah untuk membolehkan perdana menteri memastikan kepimpinan pengerusi syarikat sentiasa selaras dengan kepentingan dan dasar kerajaan," katanya.

Najib mengatakan bahawa peruntukan itu lebih berkuasa daripada Artikel 67 dan 116 dalam M&A SRC.

Beliau turut berkata bahawa, ia bagaimanapun tidak dengan apa-apa cara menjejaskan ahli lembaga pengarah daripada menjalankan tugas fidusiari mereka untuk bertindak demi kepentingan syarikat.


12.49 tengah hari - Bekas perdana menteri Najib Razak bersaksi bahawa beliau tidak pernah mendesak untuk memasukkan artikel 116 dalam memorandum dan artikel persatuan (M&A) SRC International.

Semasa membaca dari kenyataan kesaksiannya, beliau menjawab soalan yang bertanya sama ada beliau ada mendesak memasukkan Artikel 68 dan 116 dalam M&A SRC.

"Tidak, saya tidak terlibat atau berunding di peringkat itu, saya dapat tahu mengenainya dalam surat bertarikh 3 Jun 2011 (dari SRC) yang menyatakan bahawa penubuhan (SRC) telah diluluskan oleh Menteri EPU, TSNMY (akronim untuk Nor Mohamad Yackop)," katanya.

Perkara 116 merujuk kepada peruntukan untuk pengerusi lembaga penasihat SRC, Najib mempunyai kuasa veto berhubung dengan penyingkiran pengarah SRC.


12.43 tengah hari - Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi hadir di mahkamah.

Beliau dilihat duduk di barisan tengah galeri awam ketika bekas perdana menteri Najib Razak terus membaca dari kenyataan kesaksianny.


12.39 tengah hari: Prosiding diteruskan dengan Najib membaca keterangan kesaksiannya.


12.18 tengah hari: Prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan pasukan pembelaan membuat salinan kenyataan kesaksian Najib yang hilang satu muka surat.


12.03 tengah hari: Prosiding disambung untuk Najib membaca dari kenyataan kesaksiannya.


11.34 pagi: Mahkamah berehat sebentar.


11.20 pagi - Mahkamah mendengar daripada bekas perdana menteri Najib Razak bahawa beliau percaya Jho Low atau Low Taek Jho, mempunyai pengaruh di Timur Tengah dan dengan itu dapat membantu meringankan urusan pelaburan di rantau ini.

Najib juga berkata bahawa Jho Low menampilkan diri sebagai orang yang "sangat berpengaruh" di negara-negara Timur Tengah

."... yang membuat saya percaya bahawa dia sepatutnya dapat membantu dalam pelaburan dan perniagaan (saham) dengan mereka (negara Timur Tengah).

"Negara-negara ini, yang bermaksud negara-negara Timur Tengah, pada masa itu mengalami limpahan tunai berikutan kenaikan harga minyak (global). Oleh itu, saya berpendapat bahawa pengaruh dan hubungan Jho Low akan memudahkan objektif dan pelaburan 1MDB seperti yang diharapkan," katanya.


11.18 pagi - Najib Razak menafikan terlibat dalam melantik anggota pengurusan 1MDB.

"Pada dasarnya, saya berurusan dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengerusi 1MDB, dan tidak berurusan dengan pasukan pengurusan. Saya percaya individu (yang menyertai 1MDB) akan dilantik oleh Ketua Pegawai Eksekutif atau pengerusi sendiri," katanya.


11.16 pagi - Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak melihat apa-apa yang luar biasa dalam pindaan kepada memorandum dan artikel persatuan (M&A) 1MDB yang memberi kuasa tertentu kepada bekas perdana menteri seperti yang dilihat dalam Artikel 68 dan 117 M&A berkenaan.

Najib berkata demikian semasa membaca kenyataan kesaksiannya, berhubung pindaan M&A, yang menurutnya, lembaga pengarah 1MDB memaklumkan kepadanya tentang keperluan meminda M&A berkenaan, demi menjaga kepentingan Kementerian Kewangan, sejajar dengan konsep kerajaan persekutuan mengambil alih MBI (Menteri Besar Diperbadankan).

"Semua perkara ini dicadangkan oleh lembaga pengarah dan pengurusan (1MDB).

"Saya tidak melihat apa-apa yang luar biasa mengenai perkara ini. Sebagai perdana menteri, saya diberikan kuasa mutlak dalam pelantikan pengarah syarikat-syarikat GLC lain seperti Khazanah, Petronas, PNB, TNB, Telekom dan lain-lain," kata Najib.

Beliau berkata M&A 1MDB tidak pernah ditunjukkan kepadanya dan tiada unsur paksaan untuk memindanya.


11.00 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan di mahkamah bahawa ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, adalah kenalan rapat Sultan Mizan Zainal Abidin dan kekandanya, Tengku Rahimah Sultan Mahmud.

Untuk rekod, Sultan Mizan, yang merupakan Sultan Terengganu, merupakan Yang DiPertuan Agong ketika Terangganu Investment Authority (TIA) ditubuhkan pada 2009. TIA kemudiannya ditukar menjadi 1MDB.

Najib memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemahamannya, idea TIA telah datang dari perbincangan antara Jho Low dan Sultan Mizan.

"Konsep TIA, seperti yang saya faham, telah datang dari perbincangan antara Jho Low dan Sultan Mizan serta kerajaan negeri Terengganu.

"Saya dimaklumkan bahawa Jho Low telah dilantik sebagai penasihat kepada pengerusi Lembaga Penasihat TIA yang ketika itu Tuanku sendiri," katanya.


10.52 pagi - Keputusan kabinet agar kerajaan persekutuan mengambil alih Terengganu Investment Authority (TIA) dibuat dengan berat hati agar kerajaan negeri dan Agong tidak mendapat malu, kata Najib dalam keterangannya.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian sambil membaca dari kenyataan kesaksiannya.

"Ini adalah keputusan yang dibuat dengan berat hati untuk melindungi kerajaan negeri dan YDPA (Agong) daripada mendapat malu dan juga untuk mengelakkan kesan negatif terhadap pasaran bon Malaysia di seluruh dunia," kata Najib.


10.30 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak melangkah masuk kandang saksi dan bersedia membacakan kenyataan kesaksian.

Beliau kemudian mula membaca sumpahnya dalam bahasa Inggeris dan Melayu."Saya, Najib Razak dengan sesungguhnya dan suci hati mengaku keterangan yang hendak saya berikan di dalam perkara ini adalah benar dan tiada apa-apa yang tidak benar melainkan benar belaka."

Kenyataan saksi Najib adalah kira-kira 240 muka surat, dengan sejumlah 153 soalan dan jawapan.


10.15 pagi - Peguam pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah selesai membaca penyataan pembukaan.


10.03 pagi - Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri Najib Razak tidak membuat sebarang laporan polis atau mengemukakan aduan mengenai transaksi yang mencurigakan dalam akaun banknya kerana menurutnya perkara itu sudah disiasat.

"... dan Najib memilih untuk menghormati proses dan integriti terhadap siasatan yang sedang berlangsung," katanya.


9.59 pagi - Bukti semasa yang dibentangkan di mahkamah menunjukkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak mengetahui transaksi sebenar dalam akaunnya, kata peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee berkata demikian ketika membaca pernyataan pembukaan pertahanan pada permulaan kes pembelaan.

"Secara keseluruhannya, bukti yang berkaitan dengan cara cek yang dikeluarkan dari akaun Najib berbanding baki sebenar akaun cenderung menunjukkan kesimpulan yang jelas bahawa dia tidak diberitahu dengan tepat mengenai baki sebenar dalam akaun.

"Begitu juga dengan bukti lain yang menunjukkan adanya skim untuk memastikan Najib tidak menyedari transaksi sebenar dalam akaunnya," katanya.

Shafee juga mendakwa bukti itu tidak menyokong kesimpulan bahawa RM42 juta yang masuk ke akaun Ambank Najib adalah balasan yang dibayar kepada Najib sama ada melalui dirinya sendiri atau melalui mana-mana pihak lain sebagai rasuah.


9.52 pagi - Pasukan pembelaan Najib berkata tiada apa-apa yang memudaratkan dalam pindaan yang dibuat kepada memorandum dan artikel persatuan SRC International pada April 2012.

Peguam pembelaan utama, Muhammad Shafee Abdullah berkata bahawa kesaksian berkaitan perkara itu berasal dari pemegang saham SRC adalah luar biasa dan tidak konsisten dengan kandungan dokumen itu sendiri.

"Dalam apa jua keadaan, perkara 117 dalam peranan penasihat emeritus (Najib) tidak menyokong pandangan bahawa ia telah direka atau digunakan sebagai alat untuk mengawal lembaga pengarah," kata Muhammad Shafee.


9.48 pagi - Peguan utama Muhammad Shafee Abdullah dalam membaca kenyataan pembukaan pertahanan mengatakan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International.

Katanya, Najib hanya bertindak demi kepentingan negara dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan syarikat.

"Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC yang boleh dikatakan bertentangan dengan tugasnya.

"Tidak ada persoalan mengenai Najib mempunyai kepentingan peribadi. Perbuatan dan penglibatan Najib dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan SRC membawa kepada perkara-perkara yang direstui atau akhirnya diluluskan oleh KWAP, EPU, menteri, Kementerian Kewangan, Perbendaharaan dan / atau kabinet.

"Tindakan Najib ini hanya untuk kepentingan kerajaan dan Malaysia, " katanya kepada mahkamah.


9.45 pagi - Sokongan kerajaan persekutuan untuk Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mendanai SRC International adalah berdasarkan kepada aktiviti pembangunan utama negara yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan Dasar Tenaga Baru, kata pasukan pembelaan.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam membaca kenyataan pembukaan menekankan bahawa ini adalah justifikasi yang menekankan keputusan yang dibuat oleh EPU, KWAP, Kementerian Kewangan dan kabinet dalam meluluskan kedua-dua jaminan kerajaan dan pembayaran RM4 bilion kepada SRC.

"Untuk mengatakan sebaliknya, adalah membayangkan dan menyimpulkan secara tidak munasabah bahawa pembuat keputusan yang berkaitan, termasuk ketua perbendaharaan, menteri yang berkaitan, ahli Panel Pelaburan KWAP dan anggota kabinet telah gagal melakukan tugas," katanya.


9.40 pagi - Pasukan pembelaan Najib hanya boleh menemubual tujuh dari 66 saksi yang ditawarkan oleh pendakwaan bagi perbicaraan peringkat pembelaan.

Perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah oleh peguam pembelaan utama, Muhammad Shafee Abdullah.


9.35 pagi - Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mula membaca pernyataan pembukaan kes.


9.30 pagi - Najib memasuki dok. Prosiding bermula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


9.18 pagi - Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah melangkah masuk Mahkamah Tinggi dan menyambut anak guamnya sementara menunggu prosiding bermula.


8.59 pagi - Najib melangkah masuk Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam.


8.45 pagi - Peguam Negara Tommy Thomas dilihat hadir di Mahkamah Tinggi dengan anggota pasukan pendakwaan yang lain, bersiap untuk memulakan prosiding.


Pertama kali dalam sejarah kehakiman di Malaysia hari ini apabila seorang bekas perdana menteri masuk ke kandang saksi sebagai tertuduh untuk membela diri dalam kes jenayah melibatkan dirinya.

Pada hari pertama perbicaraan Najib Razak untuk membela diri dalam kes melibatkan RM42 juta dana SRC International bekas presiden Umno itu membuat kenyataan bersumpah dari kandang saksi.

Pada 11 Nov, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan tertuduh untuk membela diri berhubung tujuh tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang yang membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Sebagaimana amalan biasa apabila seseorang diperintahkan untuk membela diri, Najib mempunyai tiga pilihan untuk melakukan pembelaannya: memberi pernyataan bersumpah dari kandang saksi yang akan mendedahkannya kepada pemeriksaan balas dari pihak pendakwa, memberi pernyataan dari kandang tertuduh yang dapat mengelakkannya dari disoal pendakwaan, atau memilih untuk diam.

Semasa hari ke-59 pendengaran hari ini, Najib dijangka menjalani pemeriksaan utama oleh peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah terlebih dahulu.

Dalam aspek prosiding kes jenayah ini, tertuduh akan menerangkan kisah dari sisinya bagi kes prima facie terhadapnya, selepas 58 hari pendengaran yang menyaksikan 57 saksi mengambil pendirian semasa peringkat perbicaraan pendakwaan.

Apabila pembelaan merumuskan pemeriksaan utama, maka pihak pendakwa akan berpeluang untuk memeriksa balas Najib pada setiap hujag yang dibangkitkan dalam pembelaannya terhadap tujuh pertuduhan, di mana DPP akan cuba mempertikaikan keterangan Najib.

Hanya apabila pihak pendakwa selesai pemeriksaan balas, pasukan pembelaan boleh membuat pemeriksaan semula, yang akan membolehkannya menjelaskan lebih lanjut mengenai apa-apa isu yang dibangkitkan semasa persoalan pendakwaan.

Lihat Komen
ADS