Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan Pendamai Hat Yai: Abu Chin Peng isu kecil yang sengaja dipolitikkan

Isu abu mendiang bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu dilihat sengaja dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia, kata Pengerusi Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai, Indrajaya Abdullah.

Malah menurutnya, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sepatutnya lebih bertoleransi dalam isu tersebut.

"Boleh kita tengok yang kejadian baru-baru ini mengenai abu Chin Peng, ada pendapat sesetengah tokoh politik yang mungkin mahu mempergunakan perkara ini sebagai satu isu.

"Saya tidak memahami, Malaysia sebagai satu negara yang berbilang kaum sepatutnya mesti mempunyai satu semangat toleransi, tetapi apa yang berlaku sekarang ini saya rasa tidak berapa wujud toleransi tersebut.

"Ini mungkin bagi orang Malaysia mereka tidak mengerti dan memahami. Kami di Thailand berasa sangat bebas dan tidak ada apa-apa diskriminasi dalam hal ini," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui selepas majlis Memperingati Ulang Tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di Songkla, Thailand, semalam.

Majlis yang berlangsung di Hotel Lee Garden itu dihadiri sekitar 1,000 orang antaranya turut dihadiri senator Thailand, dan bekas panglima tentera Thailand dan bekas anggota PKM dari Thailand dan Malaysia serta ahli keluarga mereka.

Sebagai rekod, majlis memperingati perjanjian damai itu diadakan setiap tahun di Hat Yai, namun dianjurkan dengan skala lebih besar dan meriah setiap lima tahun bagi mengenang perjanjian yang diwujudkan antara PKM, kerajaan Thailand dan Malaysia.

Pada 26 November lalu, isu melibatkan PKM menjadi tumpuan selepas Malaysiakini melaporkan Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya dapat "kembali ke rumah" pada 16 September tahun ini selepas enam tahun kematiannya.

Menurut kumpulan pengurusan abu mayat, abu mayat Chin Peng dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

Chin Peng dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924. Semenjak Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989, dia bermastautin di Thailand.

Susulan kepulangan abu bekas pemimpin PKM itu, pelbagai reaksi diberikan oleh pihak-pihak tertentu termasuk Polis Diraja Malaysia yang menyiasat perkara itu.

Berbeza di Thailand

Sementara itu, Indrajaya berkata, situasi yang berlaku di Malaysia itu sangat berbeza dengan pandangan masyarakat dan kerajaan Thailand terhadap PKM.

Katanya, kerajaan Thailand memberi layanan baik terhadap mereka tanpa sebarang diskriminasi dan bersikap sama rata khususnya selepas Perjanjian Hat Yai 1989.

"Mereka (Thailand) anggap komunis sebagai satu pandangan, sama dengan orang lain yang mempunyai pemikiran yang berlainan. Ada semangat sama rata. Ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia.

"Tetapi kami lega dengan penjelasan Perdana Menteri (Malaysia) Dr Mahathir Mohamad, yang kami anggap agak masuk akal, awalnya agak bimbang juga. Tapi iyalah seperti saya kata ia masalah kecil saja, tetapi sengaja dipolitikkan. Cuma abu, apa kebendanya?" ujarnya yang juga menantu bekas pengerusi PKM, Abdullah CD.

Sebelum ini dalam mengulas isu berkenaan, Dr Mahathir antara lain berkata, isu abu mayat Chin Peng sengaja digunakan untuk memburukkan kerajaan PH.

Dr Mahathir juga mengingatkan bahawa isu berkenaan bukan penentu nasib umat Islam.

Lihat Komen
ADS