Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah teliti polisi insurans kenderaan Zahid, keluarga

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meneliti polisi insurans kenderaan yang dimiliki oleh bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya.

Maklumat polisi itu didedahkan oleh Pengurus Cawangan Allianz General Insurance (Wisma Allianz, Jalan Gereja), Fang Suat Lim ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi hari ini, yang masuk hari ketujuh.

Fang merupakan saksi ke-13 memberikan keterangan.

Ketika membacakan pernyataan bertulisnya, Fang sempat memberikan maklumat polisi insurans Allianz General untuk 12 kenderaan dimiliki Ahmad Zahid dan keluarganya, melibatkan jumlah polisi insurans bernilai RM 44,602.47 setahun.

Bagaimanapun, Fang tidak sempat menghabiskan pernyataan bertulisnya apabila Hakim Collin Lawrence Sequerah menamatkan perbicaraan lebih awal kira-kira jam 3.50 petang.

Fang akan menyambung membaca pernyataan bertulisnya tengah hari esok.

Menurut Fang, Ahmad Zahid dan keluarganya mengambil empat jenis polisi insurans untuk kenderaan dimiliki mereka.

Selain insurans pemilik kereta persendirian dan juga insurans pemilik motosikal persendirian, mereka turut mengambil polisi insurans tambahan iaitu Enhanced Road Warrior Policy dan Bike Warrior Policy yang memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk menunda kereta atau motosikal mereka sekiranya berlaku kerosakan.

Isteri pembeli, pemegang polisi

Polisi tambahan itu juga memberi perlindungan kemalangan diri kepada pemandu dan penumpang kenderaan.

Dalam semua kenderaan yang ada dalam pernyataan Fang, cuma motosikal kapcai Honda C100 sahaja yang tidak mempunyai kemudahan polisi tambahan itu.

Menurut Fang, polisi kereta persendirian dan polisi enhanced road warrior policy mempunyai penama Ahmad Zahid; isterinya, Hamidah Khamis; serta anak-anak mereka - Nurulizwani, Nurulhidayah, dan Ahmad Syafiq Hazieq.

Polisi motosikal persendirian dan polisi bike warrior pula mempunyai penama Ahmad Zahid, Hamidah, dan Nurulhidayah.

Berdasarkan keterangan Fang, Ahmad Zahid merupakan pembeli dan pemegang polisi untuk Toyota Vellfire, BMW X5, Lexus LX570, Mini Cooper S, dan BMW 320i (A), serta motosikal Harley Davidson, BMW R1200 GS, BMW R1200 RT, serta kapcai Honda C100.

Bagi Mercedez Benz CLS 350, Ahmad Zahid merupakan pembeli polisi, namun BZ Motors Sdn Bhd merupakan pemegang polisi utama, manakala polisi tambahan dipegang oleh Ahmad Zahid sendiri.

Isteri Ahmad Zahid, Hamidah Khamis pula merupakan pembeli dan pemegang polisi untuk motosikal Ducati Hypermotard.

Juhari Janan pula merupakan pembeli dan pemegang polisi untuk Toyota Land Cruiser.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, Fang mengesahkan dua polisi kenderaan yang pemegangnya bukan ahli keluarga Ahmad Zahid, mempunyai alamat yang sama dengan polisi yang dipegang presiden Umno itu.

Lee bertanya pengesahan itu ketika Fang mengesahkan dokumen polisi untuk Toyota Land Cruiser yang menamakan Juhari Janan sebagai pemegangnya.

Lee: Cuba lihat polisi yang berakhir dengan nombor 40008 (kereta BMW 320i (A), pemegang polisi Ahmad Zahid), adakah alamat yang didaftarkan bagi kedua-dua polisi sama?

Fang: Ya. Kedua-dua alamat sama. Alamat nombor 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights 43000 Kajang, Selangor.

Perkara sama turut dilakukan Lee semasa Fang mengesahkan dokumen polisi Mercedez Benz CLS 350 yang menamakan BZ Motors Sdn Bhd sebagai pemegang polisi kereta persendirian.

Lee: Saya rujuk sekali lagi pada polisi berakhir dengan nombor 40008 (pemegang polisi ialah Ahmad Zahid), adakah alamat kedua-duanya adalah sama?

Fang: Ya kedua-duanya sama. Alamat nombor 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights 43000 Kajang, Selangor.

Semalam, saksi ke-12, Zaharudin Zainuddin memaklumkan Ahmad Zahid Hamidi membayar RM35,726.80 setahun untuk cukai jalan kenderaan-kenderaan yang hampir semua didaftarkan atas namanya.

Zaharudin merupakan Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Pasukan pendakwaan memulakan perbicaraan dengan cuba membuktikan Ahmad Zahid, selaku pemegang amanah, menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebaliknya, melalui jejak aliran tunai, pihak pendakwaan akan membuktikan satu amaun besar daripada dana itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Lihat Komen
ADS