Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Sepuluh laporan polis telah dibuat terhadap Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataannya di parlimen semalam, yang didakwa menghina penganut Hindu.

Diketuai oleh Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, Pemuda DAP dan NGO membuat laporan di Butterworth hari ini, mendesak pihak polis untuk menyiasat dan bertindak terhadap Tajuddin atas dakwaan menghasut.

Tajuddin didakwa membuat kenyataan yang menghina ketika berbahas dengan Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer, di mana bekas itu bertanya sama ada abu suci di dahi Rayer adalah abu mendiang Chin Peng.

Semalam, ketika Rayer mahu meneruskan soalan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Tajuddin yang ketawa dan menepuk dahinya, berkata: "Tumpang tanya, itu abu Chin Peng ke?...Saya tak mahu Jelutong dituduh pakai abu Chin Peng dekat dahi."

Tanda putih yang sering dilihat pada dahi Rayer dikenali sebagai 'Vibhuti', iaitu satu simbol suci dalam agama Hindu.

Rayer menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan itu yang disifatkan menghina penganut Hindu di Malaysia. Tajuddin kemudian berkata, "Okaylah, tarik balik. Apa ada masalah?"

Menurut Satee selepas membuat laporan polis hari ini berkata tindakan itu menghina amalan penganut Hindu."

"Kami membuat laporan polis ini ke atas Tajuddin, atas tindakannya yang menghina amalan agama Hindu dengan menyamakan abu suci masyarakat Hindu dengan ‘abu mayat Chin Peng’," katanya.

Tajuddin menafikan menghina penganut Hindu berkata beliau cuma merujuk kepada Rayer apabila berkata demikian.

Bagaimanapun, Satees berkata Tajuddin telah membuat kenyataan terhadap amalan penganut Hindu dan bukan Rayer seorang saja.

"Sebanyak dua kali Tajuddin telah mengeluarkan kenyataan tersebut. Kenyataan Tajuddin adalah jelas satu kenyataan yang mempunyai unsur kecenderungan menghasut, dengan tujuan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum dan golongan penduduk yang berlainan di Malaysia," kata Satees lagi.

Satees berkata kenyataan Tajuddin itu boleh dianggap hasutan dan beliau tidak boleh bersembunyi di sebalik kekebalan anggota parlimen.

Katanya, kenyataan Tajuddin tidak boleh dianggap sebagai ucapan MP yang dilindungi oleh kekebalan undang-undang.

Satees juga menggesa pihak polis dan Pejabat Peguam Negara mengenakan tuduhan terhadap Tajuddin di Mahkamah.

"Walaubagaimanapun, kenyataan Tajuddin tidak harus ditafsirkan bahawa ‘kenyataan di bawah imuniti parlimen’, kerana Artikel 63(4) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa sesuatu tindakan yang diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, tidak dilindungi imuniti parlimen," katanya.

Satees turut kecewa dengan cara Speaker Dewan Rakyat mengendalikan keadaan berkata Mohamad Ariff Md Yusof tidak memandang serius hal itu kerana Tajuddin tidak dikenakan tindakan selepas menarik balik kenyataannya.

Menurutnya lagi, Tajuddin dan MP Kota Melaka Khoo Poay Teong diarahkan keluar Dewan Rakyat apabila keduanya enggan mematuhi arahan speaker.

"Saya berharap speaker Dewan Rakyat akan bersikap lebih tegas dengan mereka yang sengaja merendahkan status institusi demokrasi tertinggi di negara kita ini," kata Satees.

Satees berkata rakyat Malaysia sedang melihat MP seperti Tajuddin kerana pada minggu lalu, seorang lagi anggota parlimen terlepas hukuman selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat di Dewan Rakyat.

"Baru minggu lepas seorang ahli parlimen mengeluarkan perkataan mencarut di dalam dewan yang mulia, tetapi terlepas tindakan tegas," katanya lagi. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS