Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

PAU2019 | Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu memerlukan tindakan paling radikal untuk mengembalikan peranan sebenarnya sebagai nakhoda utama bahtera Malaysia.

"Sebagai sebuah parti politik, Umno tidak mempunyai pilihan. Kita mesti melakukan penyusunan semula yang serius dan radikal atau ‘a serious radical alignment’.

"Setelah 18 bulan, kita tersungkur dari puncak kekuasaan, saya ingin mengajak semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk bersama-sama, melakukan tindakan yang paling radikal, bagi mengembalikan Umno ke peranannya yang sebenarnya iaitu – menjadi nakhoda utama bahtera yang bernama Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Mohamad yang berpakaian baju Melayu berwarna kelabu memberitahu dalam proses 'realignment’ atau pensejajaran semula politik ini, Umno perlu membina landasan yang terbuka dan inklusif.

"Parti ini mesti punya agenda, untuk meyakinkan bangsa Melayu dan bukan Melayu. Bahawa ia adalah taruhan masa depan mereka dan Malaysia yang lebih baik.

"Kita tidak boleh bergerak tanpa agenda yang konkrit. Tanpa pelan. Tanpa kejelasan tentang apa yang akan kita lakukan, apabila kita diberikan kepercayaan untuk memerintah dan mentadbir semula.

"Dan sudah tentu sekali, kita tidak boleh hanya mengharapkan kegagalan Pakatan Harapan semata-mata, untuk memenangkan kita," katanya.

Menurutnya, masa depan Umno bukan sahaja bergantung kepada tiga juta ahli parti tetapi sokongan rakyat Malaysia.

"Saya tidak menyangkal ia adalah penting. Namun masa depan Umno juga, ditentukan oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya, yang berada di luar sana. Yang bukan ahli kita. Konstituen Umno sudah berubah. Dan akan terus berubah," tegas beliau sambil tepukan gemuruh perwakilan yang hadir.

Turut hadir, tiga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung Annuar Musa, Bendahari Agung Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Shamsul Anuar Nasarah.

Selain itu, Ketua Wanita Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri Zahida Zarik Khan mengetuai sayap masing-masing di pentas utama Perhimpunan Agung Umno 2019.

Mohamad yang juga Adun Rantau berkata Umno tidak boleh beroperasi seperti dahulu lagi.

"Segalanya kita lakukan sendirian dan kemudian kita paksakan ia menjadi rukun, ke atas orang Melayu. Zaman itu telah berakhir.

"Kita semua mesti menjadi pelopor, usaha besar-besaran rakyat Malaysia, untuk menolak Pakatan Harapan. Jadikan usaha ini sebuah gerakan massa.

"Gerakan rakyat yang benar-benar rasa tertipu, rasa terpedaya dan rasa dibohongi oleh Pakatan Harapan," kata Mohamad.

Terikut-ikut, diperkudakan

Mohamad tanpa menyebut nama berkata perbalahan merebut kuasa dalam PH sangat memalukan tetapi ada kalangan pemimpin Umno yang terikut-ikut dan diperkudakan.

"Sehingga ada juga dari kalangan kita yang terikut-ikut, malah diperkudakan oleh kalangan tertentu, demi survival dan percaturan kedudukan politik tokoh terbabit," katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai ucapannya kemudian, Mohamad menjelaskan tindakan radikal yang disebutnya bermaksud pemimpin parti perlu menjiwai perjuangan Umno.

"Pemimpin pelapis ini saya katakan perlu didedahkan kepada perjuangan. Dia lah akan jadi pemimpin kita masa depan.

"Kalau alignment daripada awal tak betul, daripada dia muda tak betul dia akan nanti jiwa perjuangan itu tidak ada dalam setiap pemimpin.

"Kalau ini tak ada, kalau idealogi perjuangan atau pun tidak menjiwai perjuangan, saya yakin nanti Umno ini akan tersasar daripada kita punya asas perjuangan kita," katanya.

Lihat Komen
ADS