Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas kakitangan Anwar dimanipulasi, kata datuk saudara

Keluarga Muhammad Yusoff Rawther - yang mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim melakukan 'salah laku seksual' terhadapnya - berkata pihaknya percaya Yusoff dimanipulasi untuk membuat dakwaan itu.

Datuk saudaranya Mohideen Abdul Kader berkata pihak keluarga juga tidak diberitahu tentang insiden itu yang didakwa berlaku pada 23 September.

Yusoff ialah cucu kepada aktivis dan bekas presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris. Mohideen ialah abang kepada Idris.

"Insiden itu dikatakan berlaku pada 2 Oktober 2018, lebih setahun lalu. Tetapi tiada seorang anggota keluarga, termasuk datuknya yang amat rapat dengannya, diberitahu tentangnya.

"Yusoff tersisih daripada keluarga sejak kematian datuknya tahun ini (17 Mei lalu).

"Timbul setahun kemudian, dan dua hari sebelum kongres PKR, saya yakin Yusoff dimanipulasi ahli politik untuk kepentingan mereka," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau juga membangkitkan laporan polis Yusoff sebelum ini terhadap setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang didakwa menyerangnya, tidak menyebut tentang dakwaan salah laku seksual itu.

Yusoff Rawther

 Dalam "sidang akhbar" di lokasi yang tidak diketahui dan disiarkan di Facebook semalam, Yusoff yang merupakan bekas penyelidik Anwar membuat dakwaan itu melalui akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan SD itu.

Malaysiakini juga tidak dapat menghubungi pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan akuan bersumpah itu. Pejabatnya mendakwa pesuruhjaya sumpah tersebut kini berada di luar negara.

Menurut akuan bersumpah yang dikatakan itu, Yusoff yang menyifatkan Anwar sebagai rakan keluarga antara lain mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

"Kononnya beliau kawan rapat keluarga, dihormati oleh datuk (saya, bagaimanapun) kejadian yang berlaku antara saya dan beliau bertentangan dengan apa pun yang diperjuangkannya.

"Ia sesuatu yang memalukan. Untuk seorang yang mengetahui kebenaran, ia tidak mudah," kata Yusoff.

Yusoff mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari keempat kempen PRK Port Dickson. 

Sementara itu, Timbalan Ketua PKR Permatang Pauh Afif Bahardin menggesa mana-mana pihak menghentikan dakwaan yang disifatkannya sebagai "rekaan jahat"dan politik kotor.

"Kami menolak sekerasnya cubaan politik kotor sesetengah pihak dengan tersebarnya di media sosial tentang akuan bersumpah seorang individu terhadap salah seorang pemimpin parti.

"PKR sejak awal penubuhannya berpendirian untuk menolak sebarang amalan politik kotor dan fitnah seperti ini yang bertentangan dengan cita-cita politik baru di era Malaysia Baru," katanya yang juga exco Pulau Pinang.

'Insiden lebih setahun, dedah 2 hari sebelum kongres'

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil membangkitkan waktu Yusoff membuat dakwaannya, iaitu sebaik sebelum kongres PKR bermula.

"Saya ada baca kenyataan dari ahli keluarganya...Jika betul ia berlaku, kenapa sepatah perkataan pun tak disebut selama setahun? Kenapa tunggu dua hari sebelum kongres?

"Dia datang dari keluarga yang dihormati, dari aktivis masyarakat sivil yang dihormati. Dan saya fikir keluarganya sendiri sudah jarakkan diri daripadanya," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Katanya, isu itu tidak timbul memandangkan keluarga Yusoff sendiri telah menyangkalnya, dan ketika insiden itu didakwa berlaku Anwar sibuk berkempen untuk PRK Port Dickson.

Ketika ditanya sama ada tindakan akan diambil, beliau berkata: "Apa tindakan yang perlu diambil? Buat masa ini saya fikir orang ramai boleh melihat (ia tidak benar). Kami ada kongres dan akan memberi tumpuan kepadanya."

Lihat Komen
ADS