Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muafakat Nasional tolak kerajaan pintu belakang, walau 'luas terbuka'

Umno menegaskan parti itu tidak impikan perubahan kerajaan melalui "pintu belakang" walaupun peluang untuk berbuat demikian terbuka luas.

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata melalui Muafakat Nasional mereka ingin membentuk kerajaan melalui "pintu depan" selaras dengan prinsip demokrasi.

"Melalui Muafakat Nasional, kita tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas.

“Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.

"Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sementara kita bersiap menunggu PRU ke-15, banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional, Insya-Allah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2019 di PWTC, hari ini.

Kontroversi mengenai kerajaan "pintu belakang" tercetus apabila timbulnya khabar angin berkenaan komplot belakang tabir antara beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, rancangan itu bertujuan menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah dan menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sekretariat PH dalam satu kenyataan turut membangkitkan dakwaan itu. Hishammuddin bagaimanapun menafikannya dengan berkata beliau tiada pengaruh untuk melakukan perkara seperti itu.

Pada 27 Oktober lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak berminat dengan langkah itu dan Umno sedia mengambil alih kerajaan menerusi pilihan raya.

Kontroversi itu berlanjutan apabila pada 19 November lalu 18 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya.

Zahid hari ini mengingatkan perwakilan Umno kepada perjanjian Hudaibiyah yang menurutnya merupakan kemuncak ujian ketaatan pengikut kepada pemimpin.

Ada kalanya kata Zahid keputusan yang diambil oleh pimpinan tidak populis, namun apa yang lebih penting adalah strategik.

"Keputusan Rasulullah SAW menerima Perjanjian Hudaibiyah ketika itu, seolah-olah mengenepikan semangat dan keberanian para sahabat untuk masuk ke Makkah, setelah dihalang oleh kaum musyrikin Makkah.

"Hakikatnya keputusan Rasulullah SAW terbukti amat menguntungkan umat Islam ketika itu dan ramai pengkaji sejarah mengatakan itulah turning point kepada kejayaan Islam sehingga tersebar ke seluruh pelosok dunia," katanya.

Jelas Zahid perjanjian Hudaibiyyah juga merupakan contoh terbaik bagaimana Rasulullah SAW membina upaya politik berimbang yang menghormati hak semua agama dan hakikatnya, politik berimbang ini diasaskan di Madinah.

Sementara itu, Zahid berkata Muafakat Nasional yang diilhamkan daripada Himpunan Penyatuan Ummah Umno dan PAS serta dipersetujui oleh MCA, MIC dan semua pihak yang setia dengan BN adalah tawaran baru kepada masa depan rakyat negara ini.

Zahid berkata gagasan itu sudah mula diterima baik rakyat apabila ia menewaskan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Johor, baharu-baharu ini.

Ia turut menunjukkan betapa pengundi Melayu dan bukan-Melayu mula berpaling semula kepada BN apabila PH mengecewakan mereka selepas 18 bulan memerintah negara.

“Untuk itu, Umno sendiri perlukan pembaharuan dari segi perisian politiknya agar ia mengikut kehendak rakyat dan peredaran semasa. Politik berimbang dan ketahanan politik adalah dua perkara yang akan ditekankan kali ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS