Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mengibratkan Umno sebagai sebuah bahtera di lautan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada ahli Umno bahawa Umno mempunyai seorang "nakhoda".

Tambah Ahmad Zahid, nakhoda berkenaan dibantu oleh juragan dan anak kapal.

"Perjuangan ini umpama berada di lautan yang luas. Kita adalah bahtera yang belayar dengan hanya seorang nakhoda, dibantu oleh juragan-juragan dan anak-anak kapal," katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama pada persidangan Umno kali ke-73 itu barisan pemimpin komponen BN iaitu Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC SA Vigneswaran dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Perhimpunan agung kali ini juga menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengerusi jemaah penasihat Umno kembali ke pentas utama yang dibarisi majlis tertinggi selepas lebih 32 tahun.

Bekas perdana menteri, Najib Razak yang dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN juga turut kembali duduk di pentas utama.

Zahid mengingatkan anggota supaya belajar menerima hakikat dan menyukai apa yang mereka ada.

"Ingatlah, Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, belajarlah untuk menyukai apa yang kita dapat.

"Sehaluan tetapi tidak sejalan adalah lebih baik dari sejalan tetapi tidak sehaluan. Hindarilah diri dari menjadi manusia yang suka perpuak-puak dan berpecah-belah.

"Menjadi orang yang kalah tetapi adil adalah lebih baik daripada menjadi orang yang menang tapi zalim," katanya lagi.

Sementara itu dalam ucapannya juga, Zahid berkata Umno mengambil peduli ekonomi rakyat marhaen ketika kerajaan kini dilihat sedang menguruskan kitaran ekonomi secara “songsang”.

Katanya, dalam tempoh yang sangat singkat kerajaan telah menjual banyak aset strategik dengan anggaran RM33 bilion.

Kehidupan golongan B40 dan M40 katanya semakin sukar dan terhimpit, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak menurunkan harga barang, rakyat marhaen tidak mendapat faedah daripada SST.

"Yang untung hanya golongan tertentu sahaja. Penerima Bantuan Sara Hidup dikurangkan kepada 5 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion sahaja berbanding 7 juta penerima dengan peruntukan BR1M, yang dahulu dianggap sebagai dedak, sebanyak RM 6.8 bilion di zaman kerajaan BN.

"Umno mendengar segala rintihan petani, peneroka Felda dan nelayan. Pada Mei 2018, harga satu tan kelapa sawit mentah ialah RM600 tetapi kini hanya tinggal sekitar RM280 satu tan. Lebih 650,000 isi rumah pekebun kecil sawit dan 112,000 isi rumah peneroka FELDA di seluruh negara menanggung akibat.

"Dahulu nelayan diberikan elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan, kini dipotong kepada RM250 sebulan. Malahan ramai lagi yang dinafikan haknya untuk menerima bantuan ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS