Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPM: Negaraku dalam Mandarin tak dinyanyi dalam acara rasmi
Diterbitkan:  Dec 6, 2019 4:07 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Video tular yang menunjukkan murid sebuah sekolah menyanyikan lagu  Negaraku dalam bahasa Mandarin tidak dilakukan dalam mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Amin Senin berkata perlakuan itu hanya berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

"Hasil siasatan mendapati bahawa perlakuan tersebut hanya berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah yang bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku oleh rakyat negara ini.

"Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan.

"Walaubagaimanapun, KPM ingin mengingatkan kepada semua sekolah agar sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara-perkara asas terhadap lambang-lambang negara termasuk lagu kebangsaan Negaraku dalam PdP mereka agar tidak boleh disalah anggap oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada semua sekolah bahawa lagu Negaraku tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekali pun semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah dan hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Dalam video hampir seminit setengah itu, sekumpulan kanak-kanak dirakam menyanyikan lagu menurut melodi lagu Negaraku dalam satu bilik yang dipercayai bilik darjah itu.

Bagaimanapun, lirik lagu yang dilontarkan mereka hanyalah terjemahan daripada lagu Negaraku tanpa dibuat apa-apa perubahan maksud yang ketara.

Video itu dikesan mula tersebar sejak semalam.

Malaysiakini telah menghubungi sekolah yang dikaitkan dengan kontroversi itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

Semakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968 tidak dinyatakan dengan jelas berkaitan penggunaan bahasa ketika menyanyikan Negaraku.

Bagaimanapun ia memasukkan nota muzik dan liriknya dalam bahasa Melayu.

Sementara itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 pula menyebut bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Selain itu, Biro Pendidikan Armada Nasional Pemuda Bersatu (Armada) telah membuat laporan laporan berkaitan perkara itu di Putrajaya itu.

Armada lapor polis, dakwa ada juga dalam bahasa Arab

Menurut Exco Armada, Mohd Ashraf Mustaqim, berdasarkan penyelidikan Armada, selain daripada bahasa Cina, lagu Negaraku turut dikesan dinyanyikan menggunakan bahasa Arab.

“Jelas kedua nyanyian Negaraku samada dalam Mandarin mahupun Arab adalah salah dan melanggar kedudukan lagu Negaraku, yang diangkat sebagai lagu rasmi Negara atau lagu kebangsaan melalui sendi bahasanya iaitu Bahasa Melayu [...]

“[...] Ini negara kita, maruah kita, kebanggaan kita! Bangga dalam acuan jati negara kita Malaysia!” tegasnya dalam satu kenyataan.

Biadab, kata Putra

Sementara itu, Pergerakan Wira Putra Malaysia turut mengecam video tersebut dengan menyifatkannya sebagai doktrinisasi terhadap murid.

“Wira Putra mengecam guru dan sekolah yang melakukan tindakan yang amat biadab ini. Adakah gubahan lirik ke dalam bahasa Cina ini menjadi keperluan dalam kurikulum pelajar?

“Hinggakan semua pelajar dikehendaki menuruti untuk belajar menyanyi lagu rasmi negara tanpa menggunakan bahasa rasmi kebangsaan?” kata Ketua Penajanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Lihat Komen
ADS