Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda baju hitam dakwa dijanjikan bayaran untuk hadir kongres

KONGRES PKR | Dua pemuda daripada kumpulan berbaju hitam yang ditemui di Kongres Pemuda PKR (AMK) memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dijanjikan bayaran untuk hadir ke acara itu di Melaka.

Bagaimanapun mereka tidak menyatakan secara terperinci berkenaan pihak yang menjanjikan perkara itu.

Danial Iskandar, 21, berkata dia ke Melaka dengan menaiki bas dari Perak bersama kumpulan yang diketuai seorang individu dikenali sebagai "Abang Merul".

"Abang Merul (yang bawa). Sebab nak tengok reformasi, dia cakap ada reformasi... Dia cakap ada kerja (di Melaka)," katanya ketika ditanya Malaysiakini.

Ketika ditanya sama ada dia akan mendapat bayaran, Danial berkata mungkin akan menerimanya selepas acara itu berakhir.

"Dia kata (acara berlangsung) tiga hari kalau tak silap," katanya lagi.

Danial Iskandar

Mengakui dia tidak memiliki pas untuk menyertai kongres PKR, Danial bagaimanapun dilihat tidak risau akan perkara itu, dengan berkata ia diuruskan oleh pihak yang membawanya.

Terdahulu, kira-kira 200 orang - kebanyakannya lelaki berpakaian hitam dengan logo PKR - dilihat memenuhi bahagian belakang dewan ketika kongres AMK sedang berlangsung.

Kawasan itu ditutup daripada dimasuki hadirin yang lain.

Sejumlah daripada mereka turut dilihat terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan yang memakai baju korporat PKR berwarna biru muda, di dalam bangunan Melaka International Trade Centre (MITC) - tempat kongres berlangsung - dan juga di luar.


Baca: Kongres AMK dicemari pergaduhan


Kumpulan berbaju hitam itu dikatakan hadir sebagai pemerhati.

Antara punca pegaduhan adalah apabila beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam yang tidak memiliki pas dikatakan dibenarkan masuk.

Beberapa pemuda berbaju hitam yang ditemu bual Malaysiakini tidak jelas dengan tujuan mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Seorang lagi pemuda yang ditemui, Syami Isyak, 21, memberitahu Malaysiakini bahawa dia bukan perwakilan mahupun anggota AMK tetapi hadir kerana "diberi kerja" untuk duduk di dalam dewan.

"Hari ini datang sebab ada 'job'. Mereka bagi 'job', kita datanglah. Mereka kata duduk saja (di dewan tempat berlangsungnya kongres AMK).

"Duduk saja, sebab itu saya tak campur (ketika pergaduhan berlaku)," katanya ketika ditemui di luar dewan itu.

Syami Isyak

Seperti Danial, Syami juga bertolak dari Kuala Lumpur awal pagi ini tetapi berkata tidak tahu pihak yang mengupah mereka untuk ke Melaka.

"Mereka tak beriahu (jumlah bayaran) tapi saya terima (kerja) sebab mereka kata dapat duit," katanya lagi, yang berkata dia hanya perlu hadir ke kongres pada hari ini sahaja.

Berdasarkan perbualan rawak dengan sejumlah belia, mereka berkata datang daripada Johor Bahru, Rembau dan Port Dickson.

'Perwakilan tak dibayar'

Sementara itu, anggota AMK Kuala Langat yang menjadi perwakilan, Syamsul Syariyan Mohd Samsuddin memberitahu Malaysiakini bahawa kehadirannya ke kongres adalah secara sukarela dan tidak dibayar.

Turut memakai baju hitam dan dilihat duduk di bahagian belakang dewan, Syamsul berkata dia dan sejumlah 200 lagi dari PKR Kuala Langat dibawa oleh ketua AMK cabang itu, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman.

Syamsul Syariyan

"(Bagaimanapun) makan minum dan kemudahan lain semau ditanggung. Semua ada jaga," katanya.

Ketika sidang media selepas sesi pagi kongres AMK, ketuanya Akmal Nasrullah nasir berkata dia tidak tahu berkenaan kumpulan berbaju hitam tersebut, ataupun sama ada mereka adalah perwakilan bagi kongres kali ini.

"Saya perlu periksa (status kumpulan tersebut). Saya tidak tahu kerana duduk (di bahagian depan) sejak awal," katanya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula menyifatkan pihak yang menimbulkan kekecohan itu sebagai tidak beradab dan meminta lembaga disiplin parti untuk memecat pihak yang bertanggungjawab, selain memohon kerjasama polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Lihat Komen
ADS