Malaysiakini BERITA

'Bukan sekat ambulans, tapi bantu buka jalan'

Diterbitkan

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan hari ini tampil menjelaskan berhubung klip video yang dimuat naik di media sosial yang mendakwa rombongan menteri menyekat perjalanan sebuah ambulans.

Dalam kenyataan media hari ini, Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan berkata, dakwaan berkenaan merupakan satu salah lapor.

Sebaliknya, kata pejabat itu, rombongan menteri sebenarnya memintas ambulans itu untuk membuka jalan bagi membantunya melepasi keadaan trafik yang teruk di jalan itu.

“Apa yang berlaku ialah sebuah ambulans telah tersangkut di jalan itu dalam keadaan trafik yang sangat sesak.

Outrider (kenderaan pengiring) DBKL (Dewan Badaraya Kuala Lumpur) yang mengiringi kenderaan menteri telah memintas ambulans itu untuk membuka jalan bagi membolehkan ambulans dan kenderaan rombongan menteri melepasi kesesakan itu.

"Hasilnya, kereta menteri dan juga ambulans berjaya melepasi kesesakan itu dan berjalan dengan lancar selepas laluan dibuka oleh anggota trafik DBKL itu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kejadian berkenaan berlaku pada 4 Disember jam 9.15 pagi, di Jalan Istana, Kuala Lumpur.

Turut disertakan bersama hantaran itu, rakaman video oleh Pusat Pengurusan Pengangkutan (Itis) DBKL yang menunjukkan ambulans mengekori rombongan kenderaan pengiring menteri itu bagi merentasi jalan raya yang sesak.

Berdasarkan carian di media sosial, ada satu klip video singkat dimuat naik pagi tadi dengan keterangan menyatakan bahawa ambulans kecemasan terpaksa memberikan jalan buat rombongan “menteri PH”.

Video tersebut setakat ini menerima lebih 3,000 tontonan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada video itu merujuk kepada kejadian yang sama atau pun tidak.