Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini berkata beliau sedia memegang jawatan lebih rendah dalam parti selepas gagal mendapat undian tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi sesi 2019 hingga 2022.

“Saya bersedia untuk ke jawatan yang lebih bawah tapi mereka mahu mengekalkan,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbahasan dan pembentangan usul di Konvensyen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Mohamad Sabu berkata demikian mengulas keputusan pemilihan semalam yang mana beliau hanya mendapat kedudukan di tangga ke tujuh dalam jawatankuasa tertinggi parti itu, sedangkan beliau merupakan presiden parti.

Dalam pemilihan semalam Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu memperoleh 681 undi.

Bagaimanapun Mohamad menepati jangkaan apabila mengekalkan jawatan presiden untuk penggal kedua apabila dipilih oleh jawatankuasa berkenaan.

Mengulas lanjut perkara itu Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata parti itu mahu Mohamad dikekalkan untuk jawatan tersebut bagi penggal seterusnya.

“Kami yang mengekalkan beliau, kami semua bersetuju mengekalkan beliau sebagai presiden kerana dia merupakan orang yang berpengalaman, banyak memberikan pengorbanan dan berjaya memimpin Amanah selama ini,” katanya.

'Masih agak popular'

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Khalid Abdul Samad berkata meskipun Mohamad mendapat kedudukan ketujuh dalam pemilihan semalam namun undi yang diperolehi masih agak popular melebihi 70 peratus.

“Jadi apa yang kita kena faham bahawa pemilihan ini bukan pemilihan presiden, ia adalah pemilihan untuk Jawatankuasa Pimpinan Nasional, itu sistem kita.

“Kalau ada pemilihan presiden, mungkin keputusannya akan berbeza. Sebab itu anda tak boleh bandingkan satu sistem dengan satu sistem yang lain,” katanya.

Tambah Khalid, sistem pemilihan yang digunakan semalam telah diberi kuasa untuk memilih presiden dan timbalan presiden serta jawatan tertinggi lain.

Diminta mengulas pelantikan dua lagi naib presiden parti itu Mat Sabu berkata ia dijangka akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Lihat Komen
ADS