Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akmal dakwa ada cubaan sabotaj kongres AMK dengan '30 hardcore'
Diterbitkan:  Dec 8, 2019 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

KONGRES PKR | Ketua Pemuda PKR (AMK), Akmal Nasir mendakwa terdapat percubaan untuk sabotaj kongres AMK pada Jumaat lalu.

Berucap pada sesi penggulungan Kongres PKR di Melaka hari ini, Akmal berkata wujud perbincangan dalam grup Aplikasi WhatsApp yang merancang untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya.

Menurut Akmal, pesanan Whatsapp yang diterimanya berbunyi seperti berikut;

"Satu lagi, aku nak 30 orang hardcore. Untuk security team masa kongres. Bawa Tony and Syamel sekali. Aku nak kunci pintu dewan dan buat undi tak percaya pada Akmal. Tapi kena susun betul-betul. Aku nak yang hardcore tempur punya".

Akmal berkata dia terkejut apabila mendapat tahu tentang perancangan tersebut melalui seorang pemberi maklumat yang menghubunginya semalam.

Kongres AMK di Melaka Jumaat lalu dicemari pergaduhan sehingga menyebabkan dua orang cedera.

Polis menahan dua individu bagi kes itu yang kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini memberi amaran akan memecat pihak yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan tanpa mengira kem.

 

Sementara itu, Akmal dalam ucapannya hari ini mempersoalkan pihak yang mahu merosakkan dan memburukkan PKR.

"Siapa yang nak merosakkan dan memburukkan parti kita? Samseng ini bukan budaya kita.

"Saya akan serahkan bukti ini kepada pihak polis untuk siasat. Dan jika benar ada orang yang merekrut gangster untuk kacau AMK harus kita pecat serta-merta dan siasat di bawah kanun keseksaan jenayah," tegasnya.

Dalam ucapannya, Akmal, yang dilihat berada dalam kem Anwar, tidak merujuk nama tertentu.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, yang dilihat merupakan antara orang kanan Azmin, menafikan penglibatan pihaknya.

Jelas Hilman, dia tidak terlibat menguruskan pasukan keselamatan.

"Saya bukan pihak yang menguruskan Kongres AMK. Apa keperluan saya sediakan pasukan keselamatan?

"Kita adalah kerajaan hari ini. Kita boleh dapatkan bantuan daripada polis dan Rela untuk membantu (soal keselamatan)," katanya.

Lihat Komen
ADS