Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KES SRC | Najib Razak berkata berkata, tidak masuk akal dan tidak waras untuk beliau bersetuju dengan rela hari menerima dana dari SRC International Sdn Bhd (SRC) ke akaun peribadinya.

Menurut bekas perdana menteri itu iika mengetahuinya beliau tidak akan menerimanya.

Najib berkata demikian semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC.

"Ianya adalah suatu yang agak jelas bahawa saya tidak dimaklumkan tenteng kebenaran di sebalik asal-usul dana-dana dalam akaun-akaun tersebut.

"Sekiranya saya tahu wang berkenaan adalah daripada SRC, saya tidak akan menerimanya.

"Sekali lagi melihat keadaan sekeliling, ianya adalah suatu yang tidak masuk akal dan adalah tidak waras bagi saya untuk bersetuju dengan rela hati menerima wang daripada syarikat yang dimiliki oleh MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) ke dalam akaun peribadi saya," katanya.

Terdahulu peguam bela Najib, Rahmat Hazlan, diminta untuk menjelaskan keterangan saksi pendakwaan, Joanna Yu, yang memberitahu dana bernilai RM27 juta dari SRC dimasukkan ke akaun yang bernombor akhir 880.

Yu ialah bekas pengurus perhubungan awam Ambank Group.

Joanna Yu

Wang berkenaan kemudian dipindahkan pula ke dua akaun lain Najib - yang berakhir dengan nombor 906 dan 898 yang digunakan untuk mengeluarkan cek.

Menurut Najib, hal tersebut hanya diketahuinya semasa beliau dibicarakan.

Memberi keterangan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ahli parlimen Pekan itu menambah, dana SRC itu diperolehi melalui pinjaman dan ia mesti dibayar semula.

"Adalah suatu yang tidak masuk akal bagi saya untuk bersetuju menerima dana pinjaman tersebut," katanya lagi.

Tak ada penglibatan apa-apa

Beliau menambah, akaun-akaun banknya diuruskan oleh ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias, serta bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Untuk rekod Azlin sudah meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April 2015. Turut terbunuh dalam kejadian itu ialah ahli parlimen Rompin (ketika kejadian) Jamaluddin Jarjis.

Kata Najib, beliau tidak dimaklumkan berlaku transaksi membabitkan dana SRC melalui syarikat Perdana Putra Construction Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd ke akaunnya.

"Tiada seorang pun yang melaporkan hal ini kepada saya," katanya.

Menurut tertuduh itu lagi beliau menggunakan dana berkenaan untuk mengeluarkan cek dari akaun 898 dan 906 dengan keyakinan bahawa dana tersebut diberikan kepadanya secara sah untuk tujuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Sekali lagi saya perlu menekankan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan berkenaan dengan sumber sebenar dana daripada SRC dan tidak mempunyai apa-apa penglibatan dalam pemindahan keluar wang dari akaun SRC," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS