Syed Hamid: Islam hadhari tidak jadikan Malaysia negara pelampau
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tiada salahnya Malaysia digelar sebuah negara penyokong fundamentalisme Islam.
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tiada salahnya Malaysia digelar sebuah negara penyokong fundamentalisme Islam.
"Itu tidak menjadikan kita sebagai sebuah negara yang tidak baik," katanya di Putrajaya semalam.
Bagaimanapun beliau menekankan, pendekatan Islam Hadhari yang digunapakai sekarang tidak bermakna Malaysia sebuah negara pelampau yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang perselisihan.
Menurut beliau, sebenarnya melalui konsep Islam Hadhari Malaysia ingin menonjolkan imej yang positif bagi Islam melalui pembabitannya dengan semua negara.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian selepas melancarkan logo dan laman web Persidangan Pasca Peringkat Menteri (PMC), Mesyuarat ke-39 Peringkat Menteri Asean (AMM) dan Forum Serantau Asean (ARF) kali ke-13 di Wisma Putra.
Syed Hamid mengulas kenyataan seorang pegawai Amerika Syarikat bahawa Turki akan menjadi "satu lagi Malaysia".
Sebuah akhbar Turki pada 29 Mac melaporkan pegawai AS itu sebagai berkata penayangan filem anti-Amerika "Valley of the Wolves - Iraq" di Turki yang turut membenarkan lawatan delegasi kumpulan Hamas dari Palestin dan kemungkinan pengesahan kelas al-Quran menjadikan rakyat Amerika bimbang bahawa Turki akan menjadi "satu lagi Malaysia".
Syed Hamid berkata beliau percaya Turki akan menyelesaikan perselisihannya dengan AS memandangkan kedua-dua negara merupakan sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara.
"Jika ada sebarang perselisihan, saya rasa AS dan Turki akan mencari jalan untuk menyelesaikannya," kata beliau.

