Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Semua tahanan Uyghur 'tamat pengajian', kini bebas - pegawai China

GLOBAL | Seorang pegawai kerajaan China menyatakan semua tahanan di pusat tahanan di Xinjiang telah dibebaskan.

Menurut laporan BBC hari ini, Pengerusi kerajaan wilayah autonomi Xinjiang, Shohrat Zakir berkata tahanan di pusat yang disebut sebagai "kem pendidikan semula" itu dibebaskan setelah "tamat pengajian".

Bagaimanapun BBC berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Zakir.

Menurut laporan itu, Zakir hari ini berkata kepada pemberita di Beijing bahawa semua tahanan telah selesai kursus dan dengan "bantuan kerajaan" telah mendapat "peluang pekerjaan stabil dan memperbaiki taraf hidup mereka."

Katanya lagi, latihan di pusat itu akan dibuat berdasarkan "kehendak bebas" dan orang boleh "bebas datang dan pergi" di masa depan.

Pengumuman itu beberapa hari setelah Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk menangani "penahanan tanpa bicara, penyiksaan dan gangguan" terhadap umat Islam Uighur di China.

Diluluskan dewan tersebut pada 4 Disember lalu, RUU yang masih memerlukan kelulusan Dewan Senat AS dan Presiden Donald Trump itu menggesa sekatan bersasar terhadap anggota kerajaan China dan menamakan setiausaha Parti Komunis China di Xinjiang, Chen Quanguo.

Menurut laporan BBC itu lagi, Zakir berkata pusat latihan di Xinjiang itu diperlukan bagi membanteras fahaman agama yang melampau dan ganas.

"Ketika kehidupan warga semua kumpulan etnik di Xinjiang diancam keganasan secara serius AS memekakkan telinganya.

"Sekarang masyarakat Xinjiang semakin membangun dan rakyat semua etnik hidup dan bekerja dengan aman. AS merasa tidak senang dan meburuk-burukkan Xinjiang," katanya seperti dipetik.

Di sebalik bantahan antarabangsa, kerajaan China berulang kali menafikan dakwaan penindasan di kem tersebut.

Pada hujung November lalu, Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) mendedahkan dokumen sulit kerajaan China yang memperincikan gerak kerja dalaman yang menindas dalam kem tahanan di Xinjiang dengan butiran mengenai kawalan ketat terhadap etnik Uighur dan warga Islam lain di rantau itu.

Ia merupakan kebocoran kedua fail rahsia yang jarang-jarang berlaku mengenai rantau barat China itu.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi manusia mengatakan sekurang-kurangnya sejuta orang Uighur dan warga minoriti Muslim lainnya telah ditahan di kem di Xinjiang.

Lihat Komen
ADS