Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekerja restoran nasi kandar buat laporan palsu wang jualan disamun

Seorang juruwang dan juruaudit sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul, dekat George Town ditahan kerana membuat laporan polis palsu kononnya mereka disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal dan melarikan wang hasil kutipan restoran itu sebanyak RM122,555 dalam kejadian di Jalan Lebuh Nipah 2, Sungai Nibong hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Zainol Samah berkata juruwang yang merupakan lelaki tempatan dan juruaudit lelaki warga India masing-masing berusia 40 dan 52 tahun itu menghubungi polis memaklumkan mereka kononnya disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y50 warna biru yang bersenjatakan pisau serta senjata api dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Semasa kejadian itu, dua pekerja restoran nasi kandar tersebut dalam perjalanan ke sebuah bank di Bukit Jambul untuk memasukkan wang hasil kutipan restoran sebanyak RM122,555 dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

"Mereka mendakwa didatangi dua lelaki memakai vest lambang dan tulisan polis dari arah depan dan mengarahkan juruwang yang menunggang motosikal itu berhenti, ketika itu pembonceng (juruaudit) memegang beg merah berisi wang tunai hasil kutipan restoran selama tiga hari," katanya di George Town, hari ini.

Beliau berkata mereka mendakwa dua lelaki itu mengaku sebagai anggota polis dan mengarahkan mereka menunjukkan kad pengenalan sebelum seorang daripada suspek menunjukkan pisau serta meletakkan pistol di bahagian perut pembonceng motosikal sambil meminta menyerahkan beg mengandungi duit berkenaan.

Zainol berkata juruaudit itu yang kononnya takut mendakwa memberikan beg mengandungi wang tunai berkenaan kepada lelaki bersenjatakan pistol jenis revolver sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, juruwang yang bekerja sejak 2001 dan juruaudit sejak empat tahun lepas itu memang selalu ditugaskan untuk memasukkan wang kutipan ke dalam bank malah tiada sesiapa tahu kecuali mereka berdua.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati kawasan itu tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi yang melihat kejadian samun tersebut malah keterangan dua lelaki berkenaan juga mencurigakan.

Beliau berkata susulan laporan polis yang dibuat dua pekerja restoran nasi kandar itu, polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan termasuk di Jambatan Pulau Pinang bagi mengesan dua suspek terbabit yang menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas selama satu jam.

"Hasil siasatan polis mendapati terdapat percanggahan maklumat daripada dua lelaki itu dan akhirnya mengaku kejadian samun tersebut tidak berlaku malah hanya mereka cerita kerana mahu berkongsi wang berkenaan. Kami juga merampas wang tunai sebanyak RM122,555 disembunyikan di dalam sebuah kereta Perodua Kancil," katanya.

Beliau berkata dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS