Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KES SRC NAJIB | Perbicaraan hari ini akan bertumpu kepada pemeriksaan pasukan pembelaan terhadap anak guam mereka, Najib Razak.

Semalam, Najib menyelesaikan pembacaan kenyataan saksi sepanjang 243 halaman pada peringkat pembelaan perbicaraan kes menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

LANGSUNG:

4.26 petang - Prosiding mahkamah hari ini bersambung esok dengan pemeriksaan balas terhadap Najib Razak diteruskan pada jam 9 pagi esok.


Najib tinggikan suara bidas AG

4.00 petang - Bekas perdana menteri, Najib Razak membidas Peguam Negara Tommy Thomas ketika penghujahan mengenai Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) meluluskan permohonan pinjaman kepada SRC International pada tahun 2011.

Ini berlaku apabila Thomas mencadangkan bahawa Najib sebagai menteri kewangan yang membuat kelulusan bagi pihak KWAP.

Mendengar hal ini, Najib kemudian berkata bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian, menegaskan kuasa untuk meluluskan permohonan pinjaman hanya di tangan panel pelaburan KWAP.

"Saya ingin tegaskan bahawa sebarang kelulusan mestilah oleh panel pelaburan. Saya tidak boleh beri kelulusan," kata Najib.

Tidak berpuas hati dengan jawapan, Thomas terus menekan Najib mengatakan bekas perdana menteri yang meluluskan pinjaman tersebut.

Pada ketika ini, Najib mula meninggikan suaranya.

"Tidak, saya tidak boleh luluskan. Itulah undang-undang. Kamu mesti berikan saya undang-undang itu.

"Kamu peguam negara. Kamu beri tahu saya," katanya.


Najib nafi panel pelaburan KWAP 'sekadar hiasan'

4.11 petang - Najib Razak tidak bersetuju dengan penegasan Peguam Negara Tommy Thomas bahawa panel pelaburan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) hanyalah sekadar hiasan sebagai satu muslihat (window dressing) untuk melaksanakan keinginannya.

Bekas perdana menteri membuat penafian ini semasa pemeriksaan balas oleh Thomas mengenai Najib yang didakwa mempengaruhi panel pelaburan KWAP supaya meluluskan permohonan pinjaman oleh SRC International.

SRC International telah diberikan pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada KWAP dalam dua bahagian berasingan, pertama RM2 bilion pada akhir 2011 dan RM2 bilion yang lain pada awal tahun 2012.

Thomas: Saya katakan kepada kamu bahawa ini adalah satu fait accompli (keputusan telah ditentukan), hanya hiasan (window dressing) saja untuk jawatankuasa (pelaburan KWAP) meneliti usul itu. Mereka cuma melaksanakan kehendak kamu.

Najib: Tidak bersetuju kerana di bawah undang-undang, panel pelaburan mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat keputusan.


Nik Faisal tak pernah rujuk saya KWAP minta maklumat - Najib

3.48 petang - Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan bahawa beliau menolak permohonan SRC International untuk berkongsi rancangan pelaburannya dengan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) pada tahun 2011.

Najib mendakwa bahawa CEO SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil tidak pernah merujuk kepadanya apa-apa permintaan untuk memberikan maklumat tersebut, yang mana KWAP perlu menimbangkan permohonan SRC untuk meminjam sebanyak RM2 bilion.

Sekiranya Nik Faisal telah merujuk perkara itu, Najib berkata, beliau akan memberitahu ketua pegawai eksekutif itu untuk berkongsi segala perkara dengan KWAP.

Najib menjawab soalan Peguam Negara Tommy Thomas mengenai beberapa e-mel antara SRC dan KWAP, di mana Nik Faisal memberitahu yang beliau tidak dapat memberikan maklumat berkenaan kepada KWAP tanpa kebenaran daripada Najib.

Untuk rekod, Najib menjadi pengerusi lembaga penasihat SRC atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

"Kalau dia guna nama saya, apa saya boleh buat. Saya tak (pernah) setuju cara macam ini!

"Never," kata Najib apabila Thomas terus menekannya menegaskan bahawa bekas perdana menteri yang menolak permintaan Faisal untuk memberikan maklumat berkenaan pelaburan SRC kepada KWAP.


Najib bertegang leher dengan AG

3.45 petang - Mahkamah menyaksikan pertengkaran antara bekas perdana menteri Najib Razak yang bertegang leher dengan Peguam Negara Tommy Thomas.

Ini selepas Najib memberi keterangan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa nota tulisan tangannya mengenai surat permohonan pinjaman SRC International merupakan arahan supaya Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) meluluskan pinjaman berkenaan.

Najib berkata pegawai KWAP salah anggap apabila mereka mengambil nota "Bersetuju dengan cadangan" sebagai arahan.

"Ia bukan arahan. Dia anggap. Tapi anggapan dia salah," katanya kepada mahkamah ketika ditegaskan Thomas mengenai keterangan sebelum ini oleh pegawai KWAP Amirul Imran Ahmat (gambar, bawah).

Untuk rekod, Amirul memberi keterangan dalam perbicaraan mendakwa KWAP mencatatkan minit mengenai makluman Najib terhadap surat SRC, berkata beliau setuju bahawa ia suatu arahan yang perlu dilaksanakan.


'Setuju cadangan' bukan arahan KWAP lulus pinjaman RM3.95b pada SRC - Najib

3.42 petang - Najib Razak tidak bersetuju bahawa maklumannya "Bersetuju dengan cadangan" mengenai permohonan pinjaman SRC International berjumlah RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) membawa maksud arahan supaya pinjaman itu diberikan.

Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tommy Thomas, bekas perdana menteri membantah keterangan saksi bekas naib presiden KWAP, Amirul Imran Ahmat.

Ketika perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, Amirul memberi keterangan bahawa KWAP pada mulanya memberi pinjaman kepada SRC untuk permohonan pinjaman sebanyak RM3.95 bilion, kerana mereka melihat makluman yang dibuat Najib dalam surat permohonan pada tahun 2011.

Thomas: Amirul melihat ini sebagai arahan.

Najib: Dia (KWAP) hanya memproses (permohonan pinjaman daripada SRC). Ia bukan arahan. Andaiannya salah.

Menurut Najib, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memaksa KWAP dan panel pelaburan dana persaraan perkhidmatan awam itu perlu melakukan analisa risiko tawaran pinjaman terlebih dahulu.

Dilaporkan bahawa KWAP kemudian memberi pinjaman RM2 bilion kepada SRC pada tahun 2011, dan RM2 bilion lagi pada tahun 2012.


Kuasa PM lantik, singkir pengurusan SRC bukan kehendak saya - Najib

3.30 petang - Mahkamah mendengar keterangan Najib Razak bahawa beliau tidak memberikan cadangan supaya Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat SRC International memberikan perdana menteri kuasa untuk meluluskan pelantikan atau penyingkiran eksekutif kanan pengurusan.

Menurut bekas perdana menteri, beliau lebih suka untuk mengutamakan isu-isu dasar berbanding terlibat dalam hal-hal mikro.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Peguam Negara tommy Thomas mengenai M&A SRC.

"Dalam hal ini bukan kehendak saya dimasukkan dalam M&A.

"Saya lebih suka beri tumpuan pada perkara pokok. Ini bukan cadangan saya," katanya kepada mahkamah.

Untuk rekod, M&A SRC International yang digubal ketika syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2011 menyatakan bahawa apa-apa pelantikan atau penyingkiran ahli lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan anggota pengurusan kanan tidak boleh berkuatkuasa tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada perdana menteri.


Saya tak pernah beli barang besar guna kad kredit - Najib

2.45 petang - Peguam Negara Tommy Thomas meneruskan pemeriksaan balas selepas mahkamah berehat dengan soalan berkenaan urusan Najib Razak dengan bank.

Mengenai soalan kad kredit, Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak dapat mengingat waktu pertama kali memperolehinya tetapi bekas perdana menteri bersetuju dengan Thomas bahawa sepanjang kerjayanya, beliau mempunyai kad kredit daripada pembekal utama seperti Visa dan Mastercard.

Thomas kemudian meminta Najib menyatakan batasan kredit untuk kad kreditnya pada tahun 2013 dan 2014, ketika beliau masih menjadi perdana menteri dan pada masa berlakunya dakwaan kes SRC International.

Bagi soalan ini, Najib mendakwa beliau tidak berapa ingat:

"Saya punya kad kredit peribadi saya tak berapa ingat. Sebab saya tak pernah beli barang yang besar."

Ditanya jika beliau sedar sedar bank mengenakan caj yang tinggi terhadap kad kredit selepas tempoh penangguhannya, Najib berkata beliau tahu mengenainya walaupun tidak secara khusus.


Najib tak boleh bincang peguam sampai pendakwaan habis pemeriksaan balas

2.40 petang - Prosiding diteruskan dengan pendakwaraya utama, Peguam Negara Tommy Thomas memohon mahkamah memberi peringatan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak supaya tidak berkomunikasi dengan peguam belanya sehingga pihak pendakwaan melengkapkan pemeriksaan balasnya.

Najib memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraan terhadap dirinya. Hari ini adalah hari keempat beliau muncul di dalam kandang saksi dan hari pertama pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut.


2.39 petang - Prosiding bersambung selepas rehat tengah hari.


12.51 tengah hari - Prosiding berehat untuk makan tengah hari dan pemeriksaan balas terhadap Najib Razak akan bersambung pada 2.30 petang ini.


Najib nafi pecat Muhyiddin sebab tak setuju dengannya

12.43 tengah hari - Mahkamah mendengar daripada bekas perdana menteri Najib Razak bahawa beliau telah memecat timbalannya Muhyiddin Yassin pada tahun 2015 bukan kerana beliau tidak bersetuju dengannya mengenai 1MDB.

Menurut Najib, pemecatan tersebut kerana Muhyiddin menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada orang ramai dan bukan di dalam kabinet.

"Saya tak pernah pecat menteri sebab dia tak setuju," kata Najib menjawab soalan Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas kemudian bertanya Najib memintanya menjelaskan penyingkiran Muhyiddin dan menteri kabinet Shafie Apdal yang tidak bersetuju dengannya mengenai syarikat pelaburan negara itu.

"Itu sebab mereka buat kenyataan di luar," jawab Najib.


Jadi menteri kewangan bukan sebab nak biayai 1MDB - Najib

12.35 tengah hari - Bekas perdana menteri Najib Razak tidak bersetuju bahawa beliau menjadi menteri kewangan untuk membiayai dana kepada 1MDB dengan mengeluarkan jaminan kerajaan.

Tertuduh menjawab soalan semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Terdahulu, Thomas juga bertanyakan Najib mengenai dakwaan tiada pemiutang akan meminjamkan wang kepada 1MDB melainkan ada penjamin, seperti jaminan kerajaan.

Thomas: Saya cadangkan kamu menjadi menteri kewangan supaya kamu boleh menggunakan Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan dana supaya memberi pinjaman kepada 1MDB dengan mengeluarkan jaminan kerajaan?

Najib: Saya benar-benar tidak bersetuju.

Thomas: Sebagai perdana menteri, kamu tidak boleh melakukannya, tetapi sebagai menteri kewangan, kamu boleh berbuat demikian?

Najib: Tak setuju.


Kuasa PM tak mutlak, kata Najib

12.15 tengah hari - Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kuasa perdana menteri Malaysia tidak mutlak.

Beliau bersetuju dengan Peguam Negara Tommy Thomas yang mencadangkan perdana menteri memegang kuasa besar di negara ini termasuk dalam urusan melantik individu ke jawatan utama dalam syarikat yang berkaitan dengan kerajaan.

Bagaimanapun, kata Najib kuasa itu masih mempunyai batasannya.


Kod etika kabinet 1997 tangani isu konflik kepentingan - Najib

12.00 tengah hari - Mahkamah mendengar daripada Najib Razak bahawa kabinet pada 1997, di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri keempat, telah mengeluarkan kod etika bagi menangani isu konflik kepentingan.

Menjawab soalan daripada Peguam Negara Tommy Thomas semasa pemeriksaan balas pihak pendakwaan, Najib berkata kabinet mengeluarkan kod itu untuk mengelakkan menteri menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mempengaruhi keputusan kabinet dalam perkara-perkara di mana seseorang menteri mempunyai kepentingan peribadi.

Thomas kemudian meneruskan pemeriksaannya dengan meminta Najib menjelaskan pemahamannya mengenai konflik kepentingan.

Tommy: Bagaimana untuk melaksanakan peraturan ini apabila menteri kabinet secara peribadi memiliki kepentingan dalam perkara itu?

Najib: Dia mesti ada kepentingan peribadi, dalam erti kata, bukan minat dia tapi ia boleh perolehi untung peridadi daripada keputusan kabinet atau anggota keluarganya.

Tommy: Apa yang perlu dilakukan menteri kabinet untuk mematuhi kod etika ini?

Najib: Anggota kabinet diminta undur daripada perbincangan sewaktu kertas dibentang, dia keluar bilik, dan lepas perbincangan selesai, dia masuk balik, untuk sambung bincang jemaah menteri.


Najib 'melenting' AG soal perpecahan Umno 1986

11.20 pagi  - Bekas perdana menteri Najib Rzak 'melenting' ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tommy Thomas yang bertanya kem mana yang disokongnya ketika perebutan kuasa Umno pada 1986.

Tertuduh menjawab soalan itu tidak relevan dengan kes yang dihadapinya.

Thomas: Ketika (perebutan kuasa antara) Team A dan Team B Umno pada 1986, adakah kamu menyokong Dr Mahathir (Mohamad) melawan Tengku Razaleigh?

Najib: Saya tak pasti, itu relevan ke, itu persoalan politik? Perlukah saya jawab?

Thomas: Kamu perlu jawab selagi tiada bantahan (daripada peguam bela).

Najib: Saya sokong Dr Mahathir.


'Beli jam nak pujuk Rosmah sebab cuti keluarga di Hawaii dipendekkan' 

10.45 pagi - Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau membelanjakan AS$130,625 (RM466,330.11) membeli jam tangan mewah untuk isterinya Rosmah Mansor, supaya dapat memujuk keluarganya yang terpaksa memendekkan percutian mereka di Hawaii pada tahun 2014.

Bekas perdana menteri berkata keluarganya kecewa apabila terpaksa mengakhiri percutian peribadi keluarga , akibat banjir yang melanda di Pantai Timur pada Disember 2014.

"Dekat hari jadi isteri saya, sebab itu lah mereka rasa begitu kecewa dengan keputusan saya.

"Anak saya Ashman kerja Istanbul datang ke Honolou dan mendapati saya tidak ada.

"Demikian, saya buat keputusan untuk memujuk keluarga saya dan beli sesuatu dipilih isteri saya (Rosmah Mansor)," katanya.

Najib merujuk pembelian menggunakan kad kredit membeli jam mewah di Chanel, Honolulu, Hawaii pada 22 Disember 2014.


1MDB beli IPP jimat RM15b setahun, dakwa Najib

10.40 pagi - Najib Razak mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mendakwa 'rundingan terus' (sweetheart deals) melibatkan pengeluar tenaga bebas (IPP) telah menyebabkan negara perlu menanggung perbelanjaan berbilion ringgit.

Ini katanya kerana IPP didakwa diberikan kadar subsidi untuk gas yang dikeluarkan Petronas.

Najib mendakwa hal ini telah berubah apabila 1MDB diwujudkan dengan kontrak tidak lagi dibuat melalui rundingan terus.

"Walaupun banyak orang kutuk 1MDB, langkah 1MDB telah jimatkan negara RM10 bilion ke RM15 bilion setahun (berdasarkan) terma proses bidaan lepas IPP diambil alih 1MDB," katanya.

Peguam belanya, Muhammad Shafee Abdullah kemudian bertanya rundingan terus kontrak ini berlaku pada zaman perdana menteri mana?

Shafee: Sweet heart deal ni zaman bila laksana?

Najib: Perdana menteri keempat, PM ketujuh hari ini.


Najib kata pernah galak SPRM temu bual siasat Jho Low

10.35 pagi - Mahkamah mendengar bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa SPRM telah memberi amaran kepadanya mengenai Jho Low dan rakan sekutunya pada sekitar 2015 dan 2016.

Menurutnya, inilah sebabnya mengapa beliau menggalakkan pihak berkuasa antirasuah itu untuk merekodkan pernyataan daripada ahli perniagaan berkaitan 1MDB pada masa itu.

Najib berkata demikian apabila menjawab soalan daripada peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Ada (tak) penguatkuasa seperti SPRM, polis sewaktu kamu menjadi perdana menteri, ada sesiapa yang memberitahu kamu atau memberikan amaran kepada kamu mungkin berlaku tak elok (dalam) 1MDB atau Jho Low?

Najib: Ada itu sebab mereka telah mengambil tindakan untuk menemu bual Jho Low. Saya diberitahu bawah SPRM ada temu bual Jho Low. Saya tak ingat seara jelas bila, 2015 atau 2016.

Shafee: Kamu tahu temu bual (SPRM) berlaku?

Najib: Saya galak mereka (SPRM) temu bual siasat (Jho Low).


'Saya tiada kuasa veto dalam 1MDB' - Najib

10.25 pagi - Najib Razak mendakwa ketika menjadi pengerusi lembaga penasihatnya (BOA) 1MDB beliau tidak mempunyai kuasa veto terhadap syarikat pelaburan negara itu.

Menurut bekas perdana menteri, beliau juga tidak dapat membuat keputusan untuk BOA secara sendiri kerana dalam mesyuarat lembaga itu perlu terdiri sekurang-kurangnya empat anggota lembaga penasihat.

Menurut Najib, apa-apa keputusan yang dibuat oleh lembaga itu sentiasa berdasarkan muafakat bersama dan sekiranya mereka perlu mengundi, setiap anggota BOA mempunyai satu undi termasuk pengerusi.


Jadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB tiada kuasa mutlak - Najib

10.10 pagi - Bekas perdana menteri, Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak melihat apa-apa yang luar biasa dalam kedudukannya ketika itu sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Bekas perdana menteri berkata ini kerana kuasa beliau di badan-badan lain seperti Khazanah dan Petronas lebih menyeluruh berbanding dengan jawatan beliau sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB (BOA).

Najib menjawab soalan daripada peguam bela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah mengenai sekiranya tertuduh mempunyai pilihan apabila dilantik sebagai pengerusi bagi lembaga penasihat 1MDB.

"Ia bukan kuasa mutlak, BOA (1MDB) hanya beri nasihat, kuasa penentuan dibuat lembaga pengarah.

"Begitu juga Petronas, kuasa diberi perdana menteri bahawa akta parlimen adalah menyeluruh, umpama, perdana menteri boleh arah Petronas dan Petronas perlu laksana arahan-arahan itu. Kamu tidak boleh menolak (arahan) lembaga (pengarah).

"1mdb beza, cuma lembaga pensihat saja," kata Najib.

Menjelaskan lanjut, katanya bidang kuasa dalam Khazanah dan Petronas diperuntukkan oleh undang-undang, sambil menambah sebagai pengerusi BOA 1MDB, nasihatnya hanya boleh diberikan jika lembaga pengarah meminta nasihat sedemikian.


Najib pertimbang lapor polis dakwaan tandatangannya dipalsukan

9.50 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau percaya tujuh dokumen diserahkan ke mahkamah, mengandungi apa yang kelihatan seperti tandatangannya itu adalah dokumen palsu dan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Menurut Najib, beliau telah dinasihatkan oleh peguamnya untuk menunggu dokumen berkenaan diperiksa secara fizikal oleh pakar dokumen terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk membuat laporan polis atau tidak.

Beliau berkata demikian apabila menjawab soalan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah sekiranya beliau telah menandatangani dokumen itu, yang ditandakan di mahkamah sebagai P277, P497 (3-4), P530 (2-9), P501, D534, D535 dan P510.

"Tidak. Seperti yang telah saya katakan, saya percaya dokumen ini tidak asli berdasarkan hal-hal yang dibangkitkan semasa perbicaraan.

"Secara jujurnya, ketika itu saya berkhidmat untuk kerajaan, saya telah menandatangani ribuan dokumen dan saya tidak akan membuat laporan polis sehinggalah saya pasti tandatangan saya itu tidak asli (dipalsukan).

"Walaupun terdapat dapat awal oleh pakar dokumen (mengenai kemungkinan ia dipalsukan), peguam saya menasikatkan saya untuk menunggu pemeriksaan fizikal oleh pakar dokumen, sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis," kata Najib.

Untuk rekod, dokumen-dokumen yang dipertikaikan oleh Najib mengenai keasliannya termasuk minit Menteri Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) terhadap 1MDB, tiga set minit mesyuarat agung luar biasa (EGM) SRC International dan resolusi pemegang saham khas; minit MOF Inc bertarikh 17 Februari 2012 yang mengarahkan supaya dana SRC digunakan, dan minit mesyuarat MOF Inc memberi kelulusan pindaan terhadap Memorandum dan Artikel syarikat SRC.

Berikut dokumen yang ditandakan di mahkamah:

P277 - pemindahan 29.12.2014;

P497 - minit MKD terhadap 1MDB;

P530 - tiga set minit EGM & Resolusi Pemegang Saham Khas;

P501 - Minute MKD pada 17.2.2012 mengarahkan bagaimana dana SRC perlu digunakan;

D534 - dokumen MKD

D535 - kelulusan untuk SRC mendapatkan pinjaman RM2 bilion lagi daripada KWAP

P510 - Minit MKD meluluskan pindaan terhadap M&A SRC


Najib minta pakar Australia sahkan kesahihan dokumen

9.41 pagi - Najib Razak mengulangi permintaannya untuk mendapatkan seorang pakar tulisan tangan dari Australia untuk memeriksa dan mengesahkan kesahihan dokumen yang dikatakan mengandungi tandatangannya.

Bekas perdana menteri memberi keterangan tersebut semasa pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Muhammad Shafee Abdullah.

Tertuduh berkata, antara lain, dia tidak dapat mengesahkan kesahihan minit Menteri Kewangan Inc (MoF Inc) yang dikatakan meluluskan pindaan terhadap dokumen syarikat Memorandum dan Artikel (M&A) SRC International.

"Berdasarkan hal ini dan atas nasihat peguam saya, seorang pakar dokumen dari australia telah dilantik untuk menjalankan pememriksaaa untuk menentukan keaslian tanda tangan saya pada dokumen-dokumen ini," kata Najib.

Semalam, pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan seorang pakar tulisan tangan dari Australia dan memeriksa dokumen-dokumen oleh pendakwaan semasa perbicaraan.

Pendakwaan membantah hal ini yang membawa kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberitahu pembelaan untuk mengemukakan permohonan rasmi untuk membenarkan pihak-pihak membuat serahan berkenaan perkara itu.


9.23 pagi - Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memulakan pemeriksaan utama terhadap bekas perdana mentei Najib Razak.


9.16 pagi - Prosiding bermula, Najib masuk ke kandang saksi.


9.00 pagi - Perbicaraan yang masuk hari ke-62 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula sekitar jam 9 pagi pagi ini, pasukan pembelaan yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah dijangka akan melakukan pemeriksaan utama dengan lebih lanjut lagi terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam akan meminta Najib untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan saksi yang disediakan untuk mengukuhkan pembelaan bekas menteri kewangan itu.

Pemeriksaan utama juga akan cuba menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan melibatkan tujuh dakwaan terhadap Najib kerana penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram RM42 juta dana SRC International.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram


Lihat Komen
ADS