Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SD dakwa duit dipulangkan ke Yayasan Akalbudi tak benar - Adun

KES ZAHID | Seorang saksi hari ini memberitahu tiga perenggan terkandung akuan bersumpah (SD) yang ditandatanganinya pada 2017 tentang pembayaran balik dana Yayasan Akalbudi sebanyak lebih RM800,000 oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak benar.

Pengakuan itu dibuat oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah (BOT) Yayasan Akalbudi, Khairuddin Tarmizi. Beliau memberi keterangan sebagai saksi ke-15 kes untuk perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Akuan bersumpah itu dibangkitkan timbalan pendakwa raya, Raja Rozela Raja Toran dalam pemeriksaan tambahan selepas Khairuddin selesai membacakan pernyataan bertulisnya.

Tiga perenggan dalam akuan bersumpah dimaksudkan Adun Hutan Melintang itu ditulis dalam bahasa Inggeris. Ia merupakan perenggan keempat, kelima dan keenam SD berkenaan. Terjemahannya bertulis:

4. Sekitar tahun 2014/2015, Dato’ Seri memberikan saya beberapa bil untuk diselesaikan dengan pihak bank.

5. Saya, tanpa ada niat lain, berpandangan bahawa saya boleh menggunakan duit dalam yayasan untuk menyelesaikan bil-bil Dato’ Seri memandangkan sebahagian besar dana yayasan itu disumbangkan secara peribadi oleh Dato’ Seri.

6. Kini, saya sedar pandangan saya itu tidak betul dan saya telah meminta Dato’ Seri untuk memulangkan semula dana (berjumlah RM805,768.16) yang digunakan untuk menyelesaikan bil-bil, yang mana dana tersebut, sejak itu, telah dibayar semula oleh Dato’ Seri kepada yayasan.

Raja Rozela: YB (Khairuddin), berdasarkan para keempat dalam SD [...], adakah YB ada menerima apa-apa bil kad kredit daripada Dato’ Seri (Zahid) untuk dibayar?

Khairuddin: Tak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan perenggan kelima SD [...], adakah YB menggunakan apa-apa cek atau dana dari Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit bagi pihak Dato’ Seri?

Khairuddin: Tak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan perenggan keenam [...], adakah YB pernah meminta untuk (Ahmad Zahid) memulangkan semula duit yayasan yang telah digunakan? Berdasarkan SD ini?

Khairuddin: Tak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan jawapan YB tadi, berkaitan perengagn keempat, kelimat dan keenam, adakah kandungan SD ini benar?

Khairuddin: Tidak benar.

Selepas pengakuan itu, Khairuddin kemudian menjelaskan kepada mahkamah bahawa dia menandatangani akuan bersumpah itu kerana “difahamkan” oleh seorang peguam bernama “Murali” bahawa duit yang digunakan itu telah dibayar semula kepada yayasan, berdasarkan annex (lampiran) yang disertakan di belakang akuan tersebut.

Raja Rozela: Penyelesaian bayaran kad kredit ini bukan dibuat oleh YB lah?

Khairuddin: Tidak.

Sebelum itu, hakim menjelaskan kepada saksi berkenaan Akta Keterangan 1950, bahawa saksi perlu “menjawab apa-apa soalan yang akan ditanya oleh timbalan pendakwa raya, dan apa-apa jawapan yang diberikan tidak boleh diguna pakai terhadap YB, kecuali jika jawapan itu palsu”.

Sebelum itu juga, ketika menjawab soalan Raja Rozela, Khairuddin mengesahkan bukan dia yang menulis atau menyediakan SD tersebut, sebaliknya cuma menandatanganinya sahaja.

Raja Rozela: Siapa yang sediakan SD ini YB?

Khairuddin: Yang sediakan ialah peguam Murali (Muralidharan).

Menurut Khairuddin juga, SD itu diserahkan kepadanya oleh Muralidharan untuk ditandatangani pada 20 April 2017 di sebuah restoran mamak dekat Menara UOA, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Tambahnya, dia mengenali Muralidharan sebagai peguam dari firma Messrs Lewis & Co yang “pernah datang ke program-program di Bagan Datuk”, namun tidak tahu Muralidharan merupakan peguam yang mewakili siapa.

Tak pernah tandatangan cek

Sementara itu, dalam pemeriksaan balas, peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal cuba mencadangkan bahawa para keempat hingga keenam akuan bersumpah Khairuddin ialah “tidak munasabah”.

Hal itu memandangkan status Khairuddin yang bukan “penandatangan sah”, yang katanya, ada dinyatakan dalam pernyataan bertulis Khairuddin.

Ahmad Zaidi: Dari pernyataan bertulis Datuk (Khairuddin), Datuk katakan Datuk bukanlah penandatangan sah untuk Yayasan Akalbudi. Betul?

Khairuddin: Betul.

Ahmad Zaidi: Kamu tidak pernah menjadi penandatangan sah untuk untuk Yayasan Akalbudi. Betul?

Khairuddin: Betul.

Ahmad Zaidi: Kalau itu betul, maknanya tak ada sebab untuk Dato’ Seri (Ahmad Zahid) bagi bil kepada Datuk (Khairuddin) untuk dijelaskan melalui yayasan?

Khairuddin: Betul.

Ahmad Zaidi: (Jadi), perenggan empat hingga enam ini memang tak munasabah langsung?

Khairuddin: Betul.

Dalam keterangan bertulisnya, Khairuddin mengesahkan beliau selaku BOT menandatangani satu dokumen pada 4 April 2012 bagi menukarkan penandatangan sah akaun bank Yayasan Akalbudi kepada penandatangan tunggal iaitu Ahmad Zahid.

“Sepanjang masa saya dilantik sebagai BOT Yayasan Akalbudi saya tidak pernah menandatangani mana-mana cek kepunyaan Yayasan Akalbudi,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berhadapa 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Lihat Komen
ADS