Pucuk pimpinan PAS hari ini menolak ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron di Dewan Rakyat semalam yang menyifatkan wanita yang bercerai sebagai "gatal".

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang di dalam kenyataannya juga menegaskan bahawa PAS meminta Abdul Fatah menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada kaum wanita.

PAS juga menyifatkan ahli Parlimen Rantau Panjang dari PAS itu sebagai tidak sensitif serta menjatuhkan martabat kaum ibu.

Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden PAS di ibunegara juga menegaskan ia adalah kenyataan peribadi Abdul Fatah dan tidak sama sekali mewakili pendirian parti yang berjuang untuk keadilan setiap rakyat.

"PAS amat menghormati peranan wanita sama ada sebagai isteri, ibu tunggal atau janda, kerana Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi dan PAS sentiasa berpegang kepada prinsip ini," jelasnya.

Hadi juga menegaskan, mana-mana ucapan dari pemimpin dan ahli Parlimen PAS yang menyalahi disiplin dan perjuangan parti perlu diperbetulkan segera.

Timbul kemarahan

Kenyataan Abdul Fatah semalam telah membangkitkan kemarahan ahli-ahli Parlimen wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita.

Akhbar-akhbar tempatan hari ini melaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil dan ahli-ahli Parlimen wanita termasuk dari DAP mendesak Aabdul Fatah menarik balik kata-katanya.

Shahrizat menyifatkan kata-kata Abdul Fatah itu menghina wanita dan tidak sewajarnya datang dari mulut pemimpin sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) turut membantah kenyataan Abdul Fatah itu dengan menyifatkannya berniat serong untuk menjatuhkan imej wanita negara ini.

Abdul Fatah dalam reaksinya terhadap bantahan tersebut bagaimanapun menjelaskan beliau hanya menggambarkan sebahagian daripada wanita yang berperangai tidak senonoh seperti itu.

"Saya rasa tidak perlu untuk menarik balik kata-kata saya. Memang ada wanita yang menjadi ibu tunggal kerana 'gatal'," tegas beliau.