Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mavcom berang usaha Kementerian Pengangkutan gabungkannya dengan CAAM
Diterbitkan:  Dec 12, 2019 1:20 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berang dengan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menggabungkannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Pengerusi eksekutifnya Nungsari Ahmad Radhi berkata suruhanjaya itu dimaklumkan bahawa pihak kementerian sudah mencadangkan penggabungan itu kepada kabinet.

Laporan The Edge yang memetik sumber hari ini mengatakan cadangan itu - yang akan meningkatkan kuasa CAAM - telah pun diluluskan kabinet.

"Saya kecewa keputusan seperti itu dibuat dengan agak menghina dan tanpa rundingan dengan kami. Ia tidak memberi imej baik kepada pihak yang terlibat dengan keputusan ini," kata Nungsari dalam kenyataan, hari ini.

Mavcom ditubuhkan di bawah Akta Mavcom 2016, manakala CAAM ditubuhkan untuk menggantikan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 2017.

Butiran mengenai penggabungan yang dicadangkan itu tidak jelas, tetapi khabar angin mengenainya bertiup sejak akhir Februari, dan ketika itu disangkal oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Nungsari membayangkan penggabungan itu menyebabkan Mavcom dibubarkan dan Akta Mavcom 2016 dimansuhkan.

"Keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Mavcom adalah keputusan bahawa tiada keperluan untuk pengatur ekonomi bebas bagi industri penerbangan yang melihat isu pelesenan komersil, persaingan, serta kebajikan pengguna dan kewajiban perkhidmatan awam, fungsi yang tidak wujud sebelum Mavcom ditubuhkan," katanya.

Nungsari berkata lagi, beliau akan memberi tumpuan terhadap kebajikan pekerja Mavcom terlebih dulu, sebelum isu "penyerahan" peranan Mavcom.

Berita berkenaan penggabungan itu muncul sebulan selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS menurunkan penarafan CAAM ke kategori kedua.

Lihat Komen
ADS