Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: PH dapat skor sederhana terhadap indeks kepuasan kerajaan

Kajian dijalankan oleh Emir Research mendapati responden dalam semua kategori "secara purata berpuas hati" dengan Pakatan Harapan (PH).

Antara angka sifar dan satu dalam Indeks Kepuasan Kerajaan (GSI), kerajaan memperoleh skor 0.53 daripada kajian yang dijalankan terhadap seramai 1,992 responden.

Skor ini diperolehi daripada kepuasan responden terhadap prestasi beberapa menteri kabinet.

Bagaimanapun, badan pemikir itu enggan meyerahkan data berkenaan hari ini.

"Daripada perspektif kami, adalah tidak beretika mendedahkan (data) kepuasan ini kerana kami tidak mempunyai kebenaran (menteri untuk berbuat demikian)," jelas penyelidik yang mengambil bahagian, Mohamad Sahari Nordin ketika ditanya mengenai keputusan kaji selidik berkenaan semasa sidang akhbar di Bukit Damansara.

Presiden Emir Research dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rais Hussin Mohamed Ariff berkata hasrat kajiselidik itu adalah untuk membongkar persepsi awam terhadap kabinet secara keseluruhan, dan bukannya terhadap individu.

"Apabila kamu melihat kepada kabinet, keputusan dibuat secara kolektif, prestasi kolektif dan penilaian kolektif," katanya.

Antara menteri yang ditinjau ialah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Laporan penyelidikan yang dikeluarkan kepada media menunjukkan bahawa responden ditanya mengenai 14 pemimpin tetapi senarai penuh tidak disediakan.

Soalannya adalah "Setakat mana anda berpuas hati dengan prestasi pemimpin, kerajaan dan pembangkang?" Dan responden boleh menilai mereka antara 1 (sangat tidak berpuas hati) dan 5 (sangat berpuas hati).

Rais, yang juga anggota Majlis Tertinggi Bersatu, berkata data seperti itu boleh didedahkan kepada umum pada masa akan datang. 

Badan pemikir itu merancang untuk menjalankan kajian GSI empat kali setahun pada setiap suku tahun.

Rasa tidak puas hati luar bandar, tol

Selain soalan mengenai prestasi menteri, kajian itu juga menjalankan tinjauan di peringkat akar umbi terhadap persepsi mengenai usaha PH memenuhi beberapa janji manifesto.

Janji-janji itu dibahagikan kepada empat iaitu ekonomi, kesihatan dan pengangkutan, pertanian dan rumah mampu milik.

Responden memberikan skor antara satu hingga lima, dengan satu dan dua menunjukkan rasa tidak puas hati manakala empat dan lima berpuas hati.

Secara keseluruhan, lebih satu pertiga daripada responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan berhubung ekonomi.

Tahap rasa tidak puas hati lebih tinggi dicatatkan mengenai usaha "menangani isu Ringgit" dan "menstabilkan harga barangan keperluan asas".

Sebanyak 42 peratus responden Melayu dan Bumiputera berkata mereka tidak berpuas hati terhadap usaha kerajaan "menstabilkan harga barangan keperluan asas" berbanding dengan 38 peratus berpuas hati.

Responden daripada kaum Cina dan India secara umumnya menjawab bahawa mereka berpuas hati mengenai isu berkenaan.

Mengenai isu kesihatan dan pengangkutan, lebih satu pertiga responden menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam "memperuntukkan belanjawan untuk perkhidmatan kesihatan", "melanjutkan skim penjagaan kesihatan di seluruh negara", "menggalakkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam" dan "mengambil alih konsesi tol lebuh raya".

Tahap ketidakpuasan secara amnya di bawah 31 peratus.

Bagaimanapun bagi responden luar bandar, sebanyak 42 peratus berkata mereka tidak berpuas hati dengan "pengambil alihan konsesi tol lebuh raya". Hanya 24 peratus dalam kategori ini berkata mereka berpuas hati dengan langkah itu.

Kabinet sebelum ini meluluskan rancangan Kementerian Kewangan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang - Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint dan Terowong Smart dengan nilai RM6.2 bilion.

Putrajaya juga sedang mempertimbangkan beberapa cadangan untuk mengambil alih tol lebuh raya dari syarikat konsesi Plus Malaysia Bhd.

Mengenai pertanian dan dasar mampu milik, tahap kepuasan secara umum berada di atas 30 peratus.

Mengulas mengenai hasil kaji selidik berkenaan, penyelidik yang mengambil bahagian, Margarita Peredaryenko memberikan analisa bahawa janji-janji manifesto mempunyai kesan ke atas GSI, yang akhirnya mempengaruhi kecenderungan responden di peti undi.

"Memenuhi janji-janji manifesto adalah perkara penting untuk membentuk keputusan mengundi di kalangan rakyat," katanya.

Kesimpulan ini dikira menggunakan "Worry-Satisfaction Variance Model” yang mengambil kira kebimbangan responden serta tahap kepuasan mereka terhadap kerajaan.

Terdahulu, kumpulan pemikir itu mendapati populariti Muafakat Nasional di kalangan responden memberikan saingan sengit kepada PH.

Pakatan pembangkang lebih popular di kalangan Melayu dan Bumiputera, golongan muda, luar bandar dan mereka yang memperoleh pendapatan yang lebih rendah.

Lihat Komen
ADS