Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah Jumaat sentuh tanggungjawab suami, bapa
Diterbitkan:  Dec 13, 2019 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Bimbang dengan isu keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa dalam institusi keluarga, Jabatatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menyentuh mengenai tanggungjawab seorang suami yang sepatutnya berperanan sebagai ketua, pelindung, dan memimpin tangan keluarga ke syurga.

Dengan memberi contoh kes baru-baru ini mengenai seorang bapa yang dituduh merogol dan meliwat anak kandungnya sebanyak 105 kali, mimbar berkata apa yang terjadi hari ini adalah sebaliknya apabila gejala “haruan makan anak” sering berlaku dalam rumahtangga.

“Bermula dengan membiarkan kelakuan tidak bermoral, ketagihan melayari laman web lucah, akhirnya membawa ke perbuatan yang lebih hina seperti zina, sumbang mahram, dan gejala yang sering berlaku dalam rumahtangga atau disebut sebagai haruan makan anak.

“Apa yang berlaku seolah-olah mereka tidak mengenal batas-batas antara pahala dan dosa, halal dan haram bahkan tidak mengendahkan ancaman dan azab neraka Allah di akhirat,” teks khutbah itu dipetik.

Apa yang lebih malang, menurut mimbar, terdapat bapa yang menggunakan anak dan isteri mereka sendiri dengan melacurkan mereka, menjadikan mereka sebagai keldai dadah serta melakukan kekerasan fizikal.

Bukan itu sahaja, dalam khutbah bertajuk Keutamaan Menjaga Institusi Keluarga, mimbar turut menyentuh kes-kes yang melibatkan pengabaian tanggungjawab suami dan jenayah seksual dalam rumahtangga.

Katanya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bimbang dan dukacita dengan masalah jenayah seksual yang semakin serius dan berleluasa dalam masyarakat di negeri itu dan mengesyorkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku.

“Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa yang terlibat.

“Sepatutnya mereka dilindungi oleh pelaku yang diamanahkan menjadi benteng yang paling kuat dan selamat bagi masa depan, perkembangan psikologi dan seksologi anak- anak.

“Jenayah seperti ini perlu dibenteras tanpa kompromi kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga yang terlibat,” kata mimbar.

Katanya, jika ibu bapa mendapati terdapat tanda-tanda atau gejala yang membimbangkan berlaku dalam rumah tangga seperti gangguan seksual atau perbuatan curang pasangan hendaklah dicegah serta merta.

“Insafilah bahawa kewajipan dan tanggungjawab terhadap keluarga adalah merupakan suatu amanah Allah yang melibatkan soal dosa dan pahala.

“Mereka yang mencuaikan amanah tersebut akan dihukum dan diseksa dengan seksaan yang amat berat di akhirat nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS