Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
India lulus RUU mudahkan kerakyatan pendatang tanpa izin, kecuali untuk Muslim
Diterbitkan:  Dec 13, 2019 5:33 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

GLOBAL | India pada minggu ini memperkenalkan rang undang-undang (RUU) yang bakal memudah dan mempercepatkan proses memberi kerakyatan kepada pendatang asing di negara terbabit.

Bagaimanapun, RUU tersebut hanya terpakai sekiranya pendatang tersebut bukan beragama Islam.

Laporan CNN menyatakan, RUU Pindaan Kerakyatan itu akan membolehkan pendatang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama - seperti Kristian, Hindu dan Buddha - dan etnik minoriti lain dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan boleh mendapat kerakyatan lebih cepat.

RUU tersebut sudah dipersetujui parlimen India dengan keputusan 311 menyokong dan 80 menolak. Ia hanya menunggu masa untuk dihantar dan ditandandatangani Presiden Ram Nath Kovind.

Sebelum ini, undang-undang kerakyatan negara itu - yang diamalkan sejak 64 tahun lalu - menghalang pendatang asing tanpa izin untuk menjadi warganegara.

Walaupun dibantah keras oleh pembangkang, kerajaan yang diketuai parti Bharatiya Janata Party (BJP) berkata ia adalah bagi melindungi puak minoriti agama yang melarikan diri daripada penindasan yang berlaku di negara asal mereka.

Kelulusan RUU tersebut bahkan turut disambut dengan gembira oleh Perdana Menteri, Narendra Modi, yang membuat ciapan di akaun Twitter.

Modi menyifatkan RUU tersebut sebagai mercu tanda kepada India.

"RUU ini akan meringankan kesengsaraan mereka yang dianayai selama ini," tambah perdana menteri India itu.

Laporan CNN itu juga memetik pendapat pengkritik yang mengatakan RUU tersebut adalah contoh bagaimana Modi dan BJP cuba untuk menyebarkan agenda nasionalisme Hindu ke dalam negara sekular dengan mengabaikan populasi Muslim di sana.

Pakar sejarah, Mukul Kesavan, yang dipetik BBC pula menyifatkan RUU itu kelihatan dibuat untuk membantu pendatang asing namun tujuan utamanya adalah untuk menghapuskan kewarganegaraan Muslim.

Pengkritik juga berpendapat seandainya betul RUU tersebut diadakan untuk melindungi kaum minoriti, maka mereka juga sepatutnya melindungi Muslim yang mengalami penganiayaan seperti kaum Rohingnya di Myanmar dan juga Ahmadi di Pakistan.

Lihat Komen
ADS