Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis menutup kes dakwaan gangguan seksual seorang pensyarah lelaki di Dungun, Terengganu terhadap seorang pelajar perempuannya.

Kakak wanita itu berkata pihak berkuasa memaklumkan perkara itu kepada adiknya Selasa lalu atas alasan “tidak mempunyai bukti yang kukuh”.

“Sebab polis tidak boleh teruskan dengan kes (gangguan seksual) ini kerana kejadian tidak dilihat dalam keadaan yang memaksa mangsa dan juga tiada bukti yang kukuh.

“Bukti yang ada cuma rekod suara pensyarah dan juga tiada saksi bagi merekodkan berkenaan kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan wanita 19 tahun itu mendakwa diminta ke bilik pensyarah tersebut sebelum pintu bilik dikunci dari dalam dan diajak berborak.

Pensyarah terbabit kemudian dikatakan menawarkan untuk menjadi “sugar daddy” kepada gadis itu dengan bayaran RM500 sebulan untuk khidmat seks atau “aktiviti-aktiviti lain” seperti memegang payu dara.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat laporan polis pada 24 Jun menyebabkan pensyarah tersebut ditahan. Namun dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketika dihubungi Malaysiakini, kakak gadis itu berkata dia dan keluarga kecewa dengan perkembangan kes itu.

“Ini tidak adil untuk adik saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Baharudin Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini hari ini menjelaskan kes tersebut sudah ditutup.

Jelasnya siasatan sudah dijalankan dan pegawai juga sudah memaklumkan perkara itu kepada pengadu dan UiTM.

“Saya dah periksa.

“Ya, pada 5 Disember lalu kes sudah ditutup oleh timbalan pendakwa raya dan perkara itu pun sudah kami maklumkan kepada UiTM serta pengadu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau enggan mendedahkan kenapa keputusan itu diambil.

UiTM pula ketika dihubungi berkata mereka menyerahkan kepada pihak polis.

Universiti itu juga enggan mengulas berkaitan tarikh pensyarah itu akan kembali mengajar.

Lihat Komen
ADS