Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Satira logo Apec 2020 lebih berkesan dari kempen penjenamaan mahal

Kontrak penjenamaan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 (Apec 2020) bernilai RM49.56 juta yang kontroversi bermula dengan 'langkah tempang' awal bulan ini apabila usahanya untuk mencetuskan keterujaan di media sosial akhirnya menjadi bahan lawak.

Analisis media sosial menunjukkan satira kempen itu oleh artis grafik Fahmi Reza mendapat 'engagement' dan pendedahan paling banyak di media sosial, memadamkan keterujaan positif yang cuba dilakukan oleh kempen berbayar itu.

Ciapan Fahmi di akaunnya, @kuasasiswa, berkenaan perkara itu lebih mendapat perhatian daripada ciapan para influencer yang digunakan untuk menaikan tanda pagar #myAPEC2020 dengan mesej positif berkenaan logo sidang tersebut.

 

Ciapan satira Fahmi berkenaan logo Apec 2020 merupakan ciapan dengan tanda pagar #myAPEC2020 yang paling banyak dikongsi, menyebabkan kempen itu boleh dianggap menjadi bahan ketawa.

Ia dibuat pada 7 Disember lalu, tiga hari selepas logo rasmi dilancarkan di media sosial, diiringi dengan pujian sejumlah influencer.

 

Influencer adalah akaun media sosial yang mempunyai pengikut yang ramai. Biasanya mereka digunakan untuk kempen persepsi pengurusan serta penjemaan politik dan komersial, dan mereka lazimnya dibayar.

 Fahmi juga boleh dikategorikan sebagai influencer, dengan lebih 50,000 pengikut di Twitter. Dia mendapat perhatian umum melalui karikatur badut bekas perdana menteri Najib Razak.

Kali ini, seni satira Fahmi menyentuh apa yang dilihat sebagai keterujaan berbayar dan mengikut skrip di akaun influencer yang memuji logo Apec 2020.

Analisis jaringan sosial menunjukkan akaun Twitter @kuasasiswa disebut atau dikongsi 738 kali berkenaan Apec 2020 pada hujung minggu selepas pelancaran logo itu, menjadikannya ciapan berkenaan perkara itu yang paling mendapat perhatian.

Jumlah itu merupakan lima kali ganda berbanding akaun Twitter di tempat kedua, berhubung Apec 2020. Ia merupakan akaun rasmi, @myapec2020. Akaun itu malah disokong sejumlah akaun lain yang memiliki jumlah pengikut yang besar.

Selain influencer, akaun yang menyentuh tentang topik itu ialah milik wartawan yang membuat liputan di program berkaitan Apec 2020 atau Jabatan Penerangan.

Ia menjadikan akaun Fahmi satu-satunya akaun Twitter di Malaysia yang mencetuskan interaksi yang organik berkenaan Apec 2020.

Semakan menunjukkan turut ada kempen terhad menggunakan influencer di platform lain, seperti Facebook, Instagram dan YouTube.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengulas perkara ini.

Dipalit kontroversi

Kempen penjenamaan itu telah pun terpalit dengan kontroversi susulan dakwaan minggu lalu berkenaan syarikat Usaha Jana Sdn Bhd mendapat kontrak lumayan itu ekoran nepotisme antara pegawai kementerian dan pegawai syarikat yang ada kaitan dengan BN. Kementerian menafikan dakwaan ini.

Malaysiakini telah menghubungi Usaha Jana untuk mendapatkan respons mereka.

 Usaha Jana mendapat kontrak itu melalui proses tender terbuka, yang mana bidaannya ditutup pada Oktober lalu. Sejumlah 20 syarikat membuat bidaan antara Rm14 juta hingga RM17 juta.

Menurut dokumen tender untuk kontrak penjenamaan Apec 2020, syarikat yang mendapatnya bertanggungjawab terhadap soal publisiti sidang itu.

Ia termasuklah menerbitkan kandungan untuk media cetak, penyiaran dan atas talian, serta pengiklanan di papan iklan dan mencetuskan keterujaan media sosial terhadap Apec 2020.

Mesyuarat tidak rasmi menteri kanan dibuat pada 9 Disember, manakala mesyuarat rasmi pertama dijadual pada Februari tahun depan. Beberapa mesyuarat akan dibuat sehingga November, bulan Apec 2020 dijadual berlangsung.

Documen tender menyifatkan promosi media sosial sebagai termasuk "mengurus dan menyelenggara media sosial sedia ada APEC2020...Penggunaan strategi bagi promosi dan engagement di media sosial".

Ia termasuk "penggunaan minimum 10 orang influencer sebagai 'third party validation'." Dengan kata lain, membayar mereka untuk memberi sokongan kepada program itu.

 

Syarikat itu perlu mencapai 500,000 pengikut di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube sepanjang tempoh kempen, dengan setiap hantaran mendapat paling kurang 100 "likes", "shares", "retweet", atau 1,000 penonton di Youtube, kata dokumen itu lagi.

Bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada ia hanya mengambil kira 'engagement' yang tulen.

Usaha Jana ditubuhkan pada 2009 oleh Norashedy Abdul Rashid, yang juga merupakan ketua pegawai eksekutifnya.

Syarikat itu menyifatkannya sebagai pengurus program dan mutakhir ini menganjurkan sejumlah acara di beberapa kementerian, termasuk untuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

 Semakan di rekod pemerolehan menunjukkan Usaha Jana memenangi beberapa kontrak ketika pentadbiran BN, tetapi tiada yang skalanya mencapai tahap kontrak penjenamaan Apec 2020.

Pada Disember 2015, khidmat Usaha Jana digunakan sebanyak tiga kali oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menerbitkan kandungan editorial di akhbar, dengan setiap projek menelan belanja RM240,000 ke RM560,000.

Pada 2017 pula, Usaha Jana mendapat kontrak bernilai RM2 juta untuk menganjurkan karnival untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Lihat Komen
ADS