Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Walau dividen berkurang, pelabur ASB tak perlu bimbang
Diterbitkan:  Dec 16, 2019 5:06 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Pemegang unit Saham Amanah Nasional (ASB) yang bakal mengetahui jumlah agihan pendapatan pada minggu ini boleh menjangkakan akan menerima kesan terhadap dividen yang diterima mereka jika dilihat kepada perubahan ekonomi di dalam dan luar negara. 

Perkara tersebut kata Pensyarah kanan Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff adalah tidak dapat dielakkan memandangkan sebahagian besar pelaburan termasuk ASB adalah berbentuk ekuiti atau saham.

Beliau bagaimanapun menegaskan para pelabur unit amanah itu tidak perlu merasa bimbang kerana ASB sentiasa memberikan pulangan yang lebih baik walaupun nilai dividennya dilihat sedikit menurun beberapa tahun kebelakangan.

“Keistimewaan ASB ialah ia masih mampu memberi pulangan positif yang lebih baik berbanding instrumen pelaburan lain. Jika pasaran saham dan ekonomi kembali pulih, saya meramalkan pelabur juga akan menikmati pulangan yang lebih baik,” katanya.

Perkara tersebut juga katanya dapat dilihat sebelum ini di mana para pelabur terutamanya yang sudah bersama unit itu sejak 1990 masih mampu menikmati pulangan yang tinggi walaupun negara pernah mengalami krisis ekonomi.

Tambahnya lagi, pelabur unit ASB menanggung risiko yang sangat rendah dan tidak akan kehilangan modal oleh kerana ia ditawarkan pada harga tetap.

Oleh kerana itu, para pelabur katanya tidak seharusnya membandingkan ASB dengan pelaburan lain yang terdapat di pasaran.

Para pelabur juga katanya perlu memahami bahawa ASB ialah unit amanah yang dilakukan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Untuk membandingkan ASB dengan pulangan Bank Rakyat contohnya adalah tidak tepat kerana Bank Rakyat adalah bank koperasi manakala ASB ialah unit amanah dengan kedua-duanya mempunyai struktur ahli dan punca pendapatan yang berbeza,"katanya.

Tambahnya lagi, jika dibuat perbandingan sejak lima tahun lalu antara ASB dan instrumen pelaburan lain yang mempunyai ciri seakan sama sekalipun, ASB masih memberi pulangan yang lebih tinggi kepada pelabur. 

Lihat Komen
ADS