Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Fokus juga pada bekas AG, polis, hakim kes bunuh Altantuya
Diterbitkan:  Dec 16, 2019 10:46 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Tiga belas tahun selepas Altantuya Shaariibuu ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan peledak di hutan belukar di Shah Alam, salah seorang pembunuh yang disabitkan mendakwa dirinya telah bertindak atas arahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan seorang lagi anggota pasukan elit polis itu, Sirul Azhar Umar atas pembunuhan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati kepada pasangan berkenaan.

Walaupun Sirul berjaya melarikan diri dari Malaysia selepas Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan keputusan Mahkamah Tinggi dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Australia, namun Azilah menghabiskan masa empat tahun terakhir dalam penjara sementara menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Sepanjang perbicaraan, mahkamah bagaimanapun tidak dapat menemukan motif pembunuhan warga Mongolia itu.

Susulan dakwaan Azilah yang mengejutkan dalam akuan berkanun (SD) yang difailkan bersama dengan afidavit untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan perbicaraan semula, MP DAP Lim Lip Eng berkata pihak berkuasa perlu mengkaji semula keseluruhan kes itu dari awal hingga ke akhir.

"Sejak dari mula lagi, perbicaraan tersebut diselubungi kontroversi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Lim (gambar, bawah) berkata, antara lain, pendakwaan tidak memanggil bekas pegawai polis pengiring Najib, DSP Musa Safri, untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

"Motif di sebalik pembunuhannya tidak pernah didedahkan kerana hakim dilaporkan berkata 'motif, walaupun relevan, tidak pernah penting dalam pembunuhan.'

"Pendakwaan tidak merayu pembebasan (Abdul) Razak Baginda. Jabatan Imigresen tidak mempunyai rekod Altantuya masuk ke Malaysia," katanya.

Dalam akuan berkanun, Azilah telah mendakwa Musa memainkan peranan dalam "operasi rahsia" yang membawa kepada pembunuhan Altantuya.

Dia juga mendakwa bahawa Razak Baginda, yang merupakan rakan dekat Najib, juga meminta beliau untuk membunuh wanita itu.

Menurut Azilah, Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri dan Razak Baginda didakwa cuba meyakinkannya mengatakan Altantuya ialah seorang perisik asing yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

Razak Baginda pada mulanya didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudiannya dibebaskan.

Lim, yang juga seorang peguam, menggesa suatu siasatan semula terhadap dakwaan terbaru itu, berkata pihak berkuasa bukan sahaja perlu memberi tumpuan terhadap persoalan jika Najib dan Razak Baginda telah mengarahkan pembunuhan tersebut semata-mata.

Beliau berkata malahan pihak berkuasa perlu meneliti tindakan peguam negara Abdul Gani Patail, pegawai polis yang menjalankan siasatan, timbalan pendakwaraya yang mengendalikan pendakwaan dan hakim yang mendengar kes itu.

"Hal ini memerlukan penyiasatan semula oleh pasukan polis baru atau mungkin Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

"Bekas AG, pendakwa, hakim, peguam dan orang lain yang terlibat dalam perbicaraan itu sepatutnya membantu pasukan siasatan baru untuk melihat keadilan ditegakkan," katanya.

Lim berkata jika siasatan mendedahkan terdapat pakatan sulit untuk melindungi individu tertentu, maka mereka yang terlibat juga perlu dibawa ke pengadilan.

Dalam afidavitnya yang memohon semakan kes, Azilah mendakwa terdapat keterangan dan fakta material yang tidak didedahkan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Najib telah menolak dakwaan tersebut sebagai satu rekaan semata-mata dan mendakwa bahawa ini mungkin komplot oleh Pakatan Harapan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan pentadbirannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS