Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Keputusan keluarkan pas di Sabah bukan dibuat mendadak’
Diterbitkan:  Dec 17, 2019 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman menafikan dakwaan keputusan melaksanakan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) dibuat secara mendadak oleh pentadbiran baharu kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau cadangan perlaksanaan PSS sudah dimulakan oleh kerajaan terdahulu yang bertujuan antara lain mengkoordinasikan tiga dokumen yang berbeza dikeluarkan oleh tiga agensi yang dilihat menyukarkan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen membuat penguatkuasaan.

Katanya kerajaan sebelum ini telah merancang melaksanakan Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) dan sekarang ditukar nama kepada Pas Sementara Sabah bertujuan memburu pemegang dokumen palsu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan oleh sindiket.

"Ia mengakibatkan nampak seolah-olah terlalu ramai pemegang dokumen ini di negeri ini sedangkan di dalam rekod Data Jabatan Imigresen, Majlis Kelamatan Negara dan Jabatan Hal-Ehwal Negeri Sabah setelah digabung, terdapat 136,055 orang yang aktif memiliki tiga dokumen itu.

"Maka sebab itulah perlaksanaan PSS ini perlu dilakukan kerana bertujuan untuk mengkoordinasi tiga dokumen yang berbeza yang langsung tiada ciri keselamatan seperti cap jari dan gambar muka kepada satu dokumen yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sukar untuk dipalsukan," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bekas Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Pairin Kitingan bahawa kerajaan PH membuat keputusan secara mendadak untuk mengeluarkan PSS di Sabah.

Mohd Azis juga menegaskan PSS tidak dikeluarkan kepada pemohon atau individu yang baharu.

"PSS bertujuan untuk memburu pendatang tanpa izin pemegang dokumen palsu dan bukan untuk menternak pendatang tanpa izin sebagaimana yang cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu khususnya pihak pembangkang yang hanya ingin menjadikannya isu politik sedangkan merekalah yang telah mencadangkan perlaksanaan PRSS sewaktu mereka menjadi kerajaan," kata Mohd Azis.

Pada September lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan memperkenalkan PSS bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di negeri ini pada tahun hadapan.

Menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiga dokumen yang dimaksudkan adalah Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IMM13.

Kad PSS itu akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun hadapan dengan kriterianya juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari.

- Bernama

Lihat Komen
ADS