Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam fail saman cabar Mandarin, Tamil jadi bahasa pengantar di sekolah

Tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), seorang peguam tampil di mahkamah untuk memfailkan saman bagi mencabar perkara itu.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz melalui peguam belanya hari ini memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Khairul Azam memfailkan saman itu dengan menamakan dirinya sebagai plaintif tunggal manakala Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia pula dinamakan sebagai defendan.

Beliau yang merupakan naib presiden parti Putra sebelum ini turut mencuri perhatian selepas memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan sekolah vernakular pada 23 Okt lepas.

Mahkamah tinggi bagaimanapun pada 11 Nov lalu menolak permohonan Khairul Azam untuk meneruskan cabaran tersebut.

Mengikut salinan saman yang diberikan kepada media hari ini, Khairul Azam memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil, tidak konsisten dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Saman itu bagi mencabar seksyen 17 Akta Pendidikan, yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28, atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.

Turut dicabar adalah seksyen 28 Akta yang sama, yang menyatakan bahawa tertakluk kepada peruntukan akta, menteri pendidikan boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, dan menyelenggarakan sekolah-sekolah berkenaan.

Dalam satu sidang media yang diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas memfailkan saman itu, Khairul berkata tindakannya untuk memperkukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Tambahnya, saman tersebut juga tidak mempunyai sebarang unsur perkauman dan hanya untuk menyemak perlembagaan dan isu-isu perundangan.

"Kami tidak pernah, dalam tindakan undang-undang atau kenyataan menghalang atau mempersoalkan hak mana-mana kaum untuk belajar bahasa ibunda mereka," jelas Khairul.

"Isu yang dibawa ke mahkamah kali ini adalah berhubung bahasa pengantar untuk pembelajaran di institusi kerajaan (sekolah vernakular). Undang-undang mewajibkan penggunaan Bahasa Malaysia.

"Di mahkamah, kita akan mempersoalkan isu berhubung sekolah jenis kebangsaan yang diselenggara oleh kerajaan dan mengapa mereka mendapat pengecualian untuk menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu (sebagai medium pembelajaran). Ini adalah bertentangan dengan Perkara 152 (Perlembagaan Persekutuan)," katanya.

Tambahnya, tindakan itu juga diambil untuk mengembalikan keharmonian antara kaum di negara ini selepas beberapa insiden yang boleh memecahkan perpaduan seperti isu Jalur Gemilang dan Negaraku.

"Isu perpaduan kaum semakin teruk, seperti tahap 4 (kanser). Kita lihat kepada institusi, Negaraku, perkara ini sepatutnya tidak menjadi isu tetapi telah menjadi isu baru-baru ini," kata Azam.

Beliau dipercayai merujuk kepada insiden yang tular sebelum ini di mana sekumpulan murid dilihat menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin termasuk penentangan beberapa pihak terhadap arahan untuk mempelajari tulisan Jawi kepada murid Tahun 4 termasuk mereka yang belajar di sekolah vernakular.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS