Satu-satunya akhbar berbahasa Jawi di negara ini, Utusan Melayu akan diterbitkan semula bermula 1 Mei ini hasil kerjasama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran.
Akhbar itu, yang dihentikan penerbitannya sejak 29 Januari tahun ini, akan muncul semula sebagai sisipan bersama-sama akhbar Utusan Malaysia pada setiap Isnin.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim berkata perjanjian penerbitan semula itu secara tidak langsung telah menghidupkan semula satu-satunya wadah yang sejak zaman berzaman menjadi warisan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya.
"Dari segi kebudayaan, kesenian dan warisan, ia memberi lonjakan dan pengertian yang tidak ada taranya. Bangsa Melayu khususnya boleh berbangga mendapati lidah perjuangannya sejak 1939 ini dihidupkan semula," katanya.
Menurut laporan Bernama, kewujudan semula akhbar berkenaan adalah hasil inisiatif Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama Kementerian Pelajaran yang akan menanggung sebahagian kos penerbitan akhbar itu yang diterbitkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kemeneterian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Siti Azizah Abod dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Zulkurnain Awang serta Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Mohd Nasir Ali.
Turut menyaksikan acara itu ialah Menteri Pelajaran Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Tan Sri Hashim Makaruddin.
Hishamuddin pula berkata akhbar Utusan Melayu itu mampu menjadi wadah dalam membantu kementerian memberi penekanan terhadap pendidikan Jawi di peringkat sekolah rendah.
"Dengan adanya akhbar ini kita harap dapat memperkasakan program j-Qaf, memastikan pelajar bukan sahaja dapat membaca dan menulis Jawi tetapi ada juga khatam Al-Quran, asas bahasa Arab dan Fardhu Ain selain memartabatkan pendidikan agama di sekolah," katanya.
