Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib akan sumpah laknat Jumaat ini
Diterbitkan:  Dec 18, 2019 3:34 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menyatakan hasratnya untuk melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah (SD) yang dibuat bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri.

"Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam akuan bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.

"Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas solat Jumaat minggu ini," katanya di Twitter hari ini.

Dalam SD yang menggemparkan itu, Azilah menceritakan secara panjang lebar berkenaan apa yang menurutnya sebagai "kebenaran" tentang pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dia antara lain mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya diberi secara langsung oleh Najib - dengan lisan - yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri, di kediamannya di Pekan, Pahang, pada 2006.

Dia juga mendakwa Najib dan Abdul Razak Baginda meyakinkannya bahawa Altantuya merupakan perisik asing yang mengancam keselamatan negara.

Najib dalam respons segeranya pada 16 Disember lalu menyifatkan dakwaan itu sebagai "semata-mata rekaan".

SD itu merupakan dokumen sokongan bagi permohonan Azilah untuk menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu, yang menyebabkannya dijatuhkan hukuman mati.

Permohonan itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 20 April depan.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan seorang lagi tertuduh, Sirul Azhar Umar, daripada pendakwaan.

Razak Baginda pula pada mulanya dibicarakan atas tuduhan subahat dibebaskan daripada tuduhan itu.

Keputusan untuk tidak membuat rayuan terhadap pembebasan itu, serta proses perbicaraan yang tidak menyatakan motif pembunuhan serta kegagalan pendakwaan memanggil bekas ketua pengiring Najib - yang didakwa Azilah sebagai memainkan peranan penting - sebagai saksi menimbulkan spekulasi terdapat cubaan untuk menutup kes.

 

Lihat Komen
ADS