BERITA Malaysiakini

Isu umat Islam jadi tumpuan Sidang Kemuncak KL

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

​​​​​Pentas Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang akan mengetengahkan isu-isu hal ehwal umat Islam, kini sedia menjadi tumpuan dengan para peserta berusaha menentukan hala tuju dunia Islam.

Pandangan akan terarah kepada perbincangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bermula malam ini, sehingga Sabtu.

Sidang kemuncak berkenaan akan diterajui Perdana Menteri dan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal dengan pandangan mengenai isu-isu mengenai dunia Islam.

Turut menyertai beliau pada persidangan itu ialah Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Iran Hassan Rouhani, menurut kenyataan penganjur sidang kemuncak itu.

Erdogan dan Rouhani telah berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak itu manakala Sheikh Tamim dijangka tiba esok.

Indonesia akan diwakil Naib Presiden Ma’ruf Amin manakala Uzbekistan oleh Penasihat Negara kepada Presiden, Rustam Kasimov.

Kira-kira 450 wakil dari 56 negara Islam menghadiri sidang kemuncak ini yang akan melihat isu seperti kebangkitan Islamophobia, penahanan umat Islam di seluruh dunia dan penghijrahan besar-besaran umat Islam akibat perang saudara.

Para peserta sidang kemuncak itu, yang membawa tema 'Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara', terdiri daripada pemikir, intelektual, ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Sidang Kemuncak tersebut akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, integriti dan tadbir urus yang baik, kebudayaan dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tadbir urus Internet.

Sebagai pengiktirafan kepada pentingnya belia di dunia Islam, buat julung kalinya Sidang Kemuncak Belia KL 2019​​​​​​, diadakan untuk membincangkan peranan belia dalam pembangunan negara-negara Islam.

Bertemakan “Pemberdayaan Belia dalam Menghadapi Cabaran Global”, sidang kemuncak dua hari yang berakhir hari ini membincangkan enam sesi dialog kluster.

Persidangan itu bertujuan untuk memperkukuhkan kesejahteraan belia dalam sektor pendidikan, memantapkan ekonomi digital, memperkukuhkan masa depan belia dalam politik, ekonomi dan kelestarian, cabaran IR 4.0 dan menyebarkan integriti dan ketelusan dalam memastikan tadbir urus yang baik.

Resolusi Sidang Kemuncak Belia KL akan dibentangkan kepada pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak KL yang bermula malam ini.

Sidang Kemuncak KL dijangka mendapat liputan yang meluas daripada hampir 800 pengamal media tempatan dan antarabangsa.

-Bernama