Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hari 65: Saya dapat rasa baki akaun cukup sebelum keluarkan cek - Najib

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-65 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


11.26 pagi: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan awal hari ini.

Ia susulan permohonan oleh DPP V Sithambaram, yang memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa dia tidak sihat.

Peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah tidak menimbulkan bantahan terhadap permohonan penangguhan awal.

Hadirin mahkamah ketawa ketika Nazlan bertanya sama ada Sithambaram tidak sihat kerana gangguan berterusan dari peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Hakim kemudian menetapkan perbicaraan untuk menyambung semula pada 6 Jan tahun depan.

Hakim turut mengingatkan bekas perdana menteri itu bahawa beliau masih di bawah sumpah dan tidak boleh membincangkan kes itu dengan sesiapa sahaja dalam tempoh interim.

Prosiding ditangguhkan.


10.50 pagi: Semasa pemeriksaan balas, DPP V Sithambaram mencadangkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak seorang yang cermat sehingga sedar ada coklat yang hilang apabila polis menyerbu rumahnya.

Sithambaram: Datuk Seri, anda seorang yang cermat dengan wang atau dana kerajaan.

Najib: Saya tidak begitu beri perhatian.

Sithambaram: Saya tidak bermaksud untuk tidak hormat, tetapi saya keliru. Saya masih ingat apabila polis melakukan beberapa serbuan di rumah anda, anda sebenarnya mengadu bahawa ada coklat hilang?

Najib: Anak perempuan saya yang mengadu.

Sithambaram: Jadi anda telah mengeluarkan siaran akhbar .. (tetapi) itu bukan coklat anda?

Najib: Bukan saya punya.

Sithambaram: Saya merasa sukar untuk percaya bahawa perdana menteri dan menteri kewangan agak tidak jelas tentang akaun kewangannya?

Najib: Anda boleh tanya setiausaha peribadi saya yang menguruskan akaun peribadi saya.


10.36 pagi: Bekas perdana menteri, Najib Razak mendakwa beliau dapat merasakan mempunyai wang yang cukup dalam akaun AmBank sebelum mengeluarkan cek bernilai berjuta ringgit.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.

Sithambaram: Ketika di PMO (Pejabat Perdana Menteri), anda semak (dengan bekas ketua setiausaha sulit Azlin Alias), di rumah anda, dengan siapa anda semak?

Najib: Saya dapat rasa ada wang yang cukup di bank.

Najib menegaskan bahawa dia mempunyai wang yang cukup dalam akaun bank seperti di akaun berakhir 880, 898 dan 906 dan dia tidak pernah mengetahui baki sebenar dalam akaun kecuali jika dimaklumkan oleh Azlin.


10.08 pagi: DPP V Sithambaram dan Najib Razak bertikam lidah selepas bekas perdana menteri itu dilihat memberi jawapan yang berbeza mengenai sama ada beliau menandatangani minit mesyuarat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk membolehkan pindaan ke atas memorandum dan artikel persatuan (M&A) 1MDB.

DPP menyoal Najib berhubung jawapannya yang dilihat bercanggah dengan kenyataan saksi bertulis dan yang diberikan semasa di bawah pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam kenyataan bertulis Najib, beliau berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada beliau menandatangani pindaan M&A 1MDB.

Bagaimanapun semasa pemeriksaan balas Thomas, Najib menjawab bahawa tandatangan itu adalah miliknya.

Pindaan itu adalah untuk memasukkan Artikel 117, yang memberi kuasa meluas kepada Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu, berhubung dengan keputusan lembaga pengarah 1MDB.

Sithambaram: Selepas pemeriksaan balas oleh AG (Thomas), apabila P510 (ekshibit minit mesyuarat MKD berhubung pindaan Artikel 117), anda mengesahkan bahawa ia merupakan tandatangan anda.

Najib: Ya, tetapi tertakluk kepada dokumen asal.

Sithambaram: Anda tidak jawab seperti itu ketika itu (semasa disoal Thomas).


9.50 pagi: Najib Razak masuk kandang saksi. Prosiding bermula.

Bekas perdana menteri itu akan meneruskan pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.


9.38 pagi: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membolehkan prosiding berakhir tengah hari.

Ini susulan terdapat permohonan yang berkaitan dari DPP V Sithambaram, yang memberitahu mahkamah bahawa dia telah demam sejak malam tadi dan tidak merasa sihat melakukan pemeriksaan balas untuk sepanjang hari.

Peguam utama Najib Abdul Razak, Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah.


9.37 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak masuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Turut kelihatan di mahkamah menunggu prosiding bermula adalah DPP V Sithambaram, yang dijangka melanjutkan pemeriksaan balas terhadap tertuduh


Pemeriksaan balas pendakwaan dalam kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak memasuki hari keempat.

Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram akan menyambung semula pemeriksaan balasnya terhadap Najib, yang juga bekas menteri kewangan, pada hari ke-65 perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 9.30 pagi ini.

Dalam pemeriksaan balas semalam, soalan-soalan yang diajukan Sithambaram terhadap Najib mencetuskan beberapa pertikaman lidah terutama apabila menyentuh sama ada Najib bertanggungjawab secara peribadi terhadap salah laku yang dikaitkan dengan akaun banknya.

Kenyataan saksi Najib yang dicatatkan oleh SPRM juga mendedahkan bahawa beliau tidak mempertikaikan kesahihan tandatangannya pada dokumen penting seperti minit mesyuarat Kementerian Kewangan ke atas 1MDB dan SRC International.

Ini walaupun tertuduh, semasa perbicaraan, menyatakan keraguan mengenai kesahihan tandatangan pada dokumen-dokumen penting yang dikatakan miliknya.

Secara kebetulan, permohonan Najib untuk mendapatkan seorang pakar tulisan tangan Australia dibenarkan memeriksa dokumen-dokumen ini untuk memastikan kesahihannya akan dibawa kepada pengurusan kes di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi tadi.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS