Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
7 Jan dengar permohonan Najib untuk dapatkan pakar tulisan Australia

KES SRC l Permohonan Najib Razak untuk memanggil seorang pakar Australia bagi memeriksa keaslian tanda tangannya mengenai dokumen penting yang dikaitkan dengan kes RM42 jutaSRC International, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari tahun depan.

Ini disahkan oleh peguam Syahirah Hanapiah, yang mewakili bekas perdana menteri itu dalam pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahyudin Mohmad Som di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

"Pihak kami telah memfailkan permohonan ini pada 16 Dis lepas dan pendengaran permohonan ini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

"Saksi pakar ini adalah untuk melihat sama ada dokumen yang ditandatangani oleh Najib adalah tulen atau tidak, jadi beliau (saksi pakar) perlu melihat dokumen yang telah ditanda di mahkamah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei mewakili pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Pada 9 Disember lalu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil pakar tandatangan dari Australia dalam prosiding bela diri bekas perdana menteri itu bagi menentukan kesahihan beberapa dokumen mengandungi tandatangan anak guamnya yang dikemukakan di mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan ia boleh menyebabkan prejudis terhadap kes pendakwaan dan meminta pihak pembelaan supaya mengemukakan permohonan serta afidavit kepada mahkamah berhubung perkara tersebut.

Menurut notis usul yang difailkan pada 16 Disember lalu, Najib selaku bekas menteri kewangan memohon kemahiran seorang pakar tulisan tangan Australia untuk memeriksa 35 eksibit dokumen yang dikaitkan dengan tujuh dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang sebanyak RM42 juta dari SRC International.

SRC International adalah anak syarikat firma pelaburan negara 1MDB, sebelum pemilikan syarikat itu dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada tahun 2012. Najib pada ketika itu adalah menteri kewangan, serta penasihat emeritus SRC International.

Hakim Mohd Nazlan yang mendengar kes itu memudiannya memutuskan bahawa pihak pembelaan perlu memfailkan permohonan rasmi untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS