Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tarik balik usul cabar lantikan peguam wakili LHDN

Peguam swasta DP Naban akan terus mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam saman cukai RM1.69 bilion kerajaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini susulan tindakan bekas menteri kewangan itu yang menarik semula permohonannya untuk mencabar pelantikan dan kelayakan Naban daripada mewakli LHDN berkaitan saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu.

Perkara ini disahkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee selepas beliau menghadiri pengurusan kes tindakan undang-undang itu di kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Bache petang ini.

Pada 8 Ogos lalu, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk melucutkan Naban atas alasan konflik kepentingan memandangkan kepakaran pengamal undang-undang itu adalah berkaitan cukai dan firma beliau ada kepentingan.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah tengah hari tadi, Farhan berkata kerajaan, yang merupakan plaintif dalam kes itu dan bertindak melalui LHDN, memberi pasukan pembelaan Najib surat perlantikan Naban pada 11 Disember.

“Oleh kerana kami menerima surat pelantikan dan selepas kami meneliti surat berkenaan, kami memutuskan untuk menarik balik permohonan supaya peguam itu menarik diri,” katanya.

Beliau berkata setelah meneliti surat lantikan tersebut, mereka tidak mendapati sebarang konflik kepentingan dalam pelantikan Naban untuk bertindak bagi pihak LHDN.

Muhammad Farhan berkata menurut surat itu, Naban dilantik mengikut Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 7 Jan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan permohonan penangguhan prosiding yang dipohon Najib dan permohonan LHDN untuk ringkasan penghakiman terhadap Najib.

Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dikemukakan.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas menteri kewangan itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS