Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid membidas Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menurutnya, telah mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu mengajar Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pembatalan pembinaan jambatan untuk menggantikan Tambak Johor.

Walaupun beliau tidak menyebut nama Syed Hamid, tetapi Sanusi jelas merujuk kepada kenyataan Syed Hamid kelmarin yang menyebut semua semua pihak perlu menerima hakikat apabila berlaku perubahan kepimpinan, pemimpin semasa mungkin membuat tindakan dan keputusan berbeza dari pimpinan terdahulu.

"...Bila ada perubahan kepimpinan, kita kena terima... macam nak ajar Dr Mahathir. Ini orang yang dilantik oleh Dr Mahathir dalam kabinetnya," kata Sanusi selaku ahli penal di majlis forum mengenai hubungan Malaysia-Singapura di Johor Bahru semalam.

Forum bertajuk 'Keharmonian hubungan Malaysia-Singapura sebagai teras kesetiakawanan dan keamanan Asean' itu dianjurkan oleh Biro Penerangan dan Halehwal Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pulai.

Ahli penal yang lainnya ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Tan Sri Abdullah Ahmad; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB), Datuk Hassan Ahmad dan bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Ruhanie Ahmad.

"Katanya, kalau tidak bersetuju jangan pula bangkitkan sentimen hingga boleh memecahbelahkan negara... apakah Dr Mahathir hendak memecahbecahkan rakyat Malaysia?" soal Sanusi lagi.

"Dia kata lagi... boleh sebabkan negara tidak stabil dan tidak selamat... Apakah Dr Mahathir mahu negara ini tak stabil dan tidak selamat? ...Mengapa sampai hati kata macam tu...," tambah Sanusi lagi yang merupakan rakan politik terapat Dr Mahathir ketika beliau dalam kerajaan dahulu.

Bagaimanapun, Sanusi yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata beliau membuat teguran itu bukan kerana beliau "terlalu fanatik dengan Dr Mahathir" tetapi kerana pada pandanganya, kata-kata seumpama itu tidak harus ditujukan kepada bekas Perdana Menteri itu.

'Jangan hina orang tua'

Sehubungan itu, beliau menasihatkan generasi muda supaya jangan menghina orang tua "kerana anda juga akan jadi tua suatu masa nanti".

"Apabila Tun Ghafar Baba meninggal, saya tidak menangis di pusaranya, tetapi saya menangis kerana saya gagal selamatkan beliau ketika ditumbangkan pada tahun 1993," kata Sanusi, merujuk ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan timbalan presiden Umno yang disandang oleh Ghafar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Anwar mendapatkan pencalonan terbanyak, sedang Ghafar hanya tujuh pencalonan. Berikutan itu Ghafar mengambil keputusan menarik diri daripada mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan Umno 1993.

Menurut Sanusi, beliau begitu terkejut apabila mendapati Ghafar berjalan ke sana-sini "dengan membawa beg kertas".

"Dr Mahathir juga akan pergi... jika kita akan menangis ketika Dr Mahathir sudah tiada dan menghamburkan kata-kata pujian... mengapa tidak sekarang ketika beliau masih hidup...," katanya.

"Kita terlalu cepat berkawan dengan musuh dan cepat pula bermusuh dengan kawan... Saya bukan fanatik Umno. Pada 1974, apabila Tun Razak pilih saya untuk bertanding... saya mendapat tahu Dr Mahathir menentang pencalonan saya.

"Bila (kami) berdamai pada 1977, baru saya tahu Dr Mahathir setia pada agama dan negara, setia pada kawan dan setia pada prinsip," katanya sambil menambah sukar untuk mencari pemimpin hari ini yang boleh dikatakan setia pada kawan, tetapi lebih setia pada jawatan.

Oleh itu, beliau berharap generasi muda supaya mengutamakan keberanian daripada kepandaian kerana manusia yang bodoh boleh diberi pelajaran "tetapi manusia yang penakut tiada gunanya".

"Pesanan (kepada) orang muda, macama manapun, jangan hina orang tua, kerana anda juga akan mennjadi tua... jangan perkecil sejarah, kerana di sanalah terletak kebijaksaan bangsa...," katanya.

Perbezaan pendapat

Tan Sri Abdullah kemudiannya mencelah memaklumkan bahawa orang yang dimaksudkan oleh Sanusi ialah Syed Hamid.

Ketika mengulas perbezaan pendapat antara kerajaan dan bekas Perdana Menteri itu berhubung pembatalan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, Syed Hamid dilaporkan berkata amalan untuk sesuatu kerajaan ambil tindakan adalah berlainan dari masa ke satu masa.

Syed Hamid dilaporkan berkata: "Saya fikir kita kena terima hakikat bila ada perubahan pimpinan, pimpinan semasa mungkin membuat tindakan dan keputusan berbeza dari pimpinan terdahulu. Ini tidak bermakna dia membuat semata-mata untuk memuaskan hati atau perasaan," katanya.

Bagaimanapun, kata menteri luar itu lagi, ia tidak seharusnya berpanjangan sehingga menimbulkan suasana yang boleh menggugat perpaduan dan kekuatan negara.

Syed Hamid dilaporkan berkata: "Kalau pun tidak bersetuju, jangan pula bangkitkan sentimen yang boleh merosakkan perpaduan dan kekuatan kita. Kita tak boleh berhentikan sesiapa (daripada memberikan pandangan), lebih-lebih lagi orang yang ada kedudukan, yang amat dihormati dan tinggi dalam pandangan rakyat jelata.

"Masing-masing memberi penjelasan dan hujah. Kalau ada tidak bersetuju dia mempunyai hak suarakannya dan selepas itu perkara itu tidak seharusnya menimbulkan satu suasana yang boleh bangkitkan seolah ada krisis politik," kata Syed Hamid.